JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 72 warga asing selepas menyerbu kilang, asrama haram dan pusat refleksologi di Muar serta Batu Pahat, kelmarin. FOTO Ihsan JIM
Johor Bahru : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 50 warga asing selepas menyerbu sembilan kilang dan asrama di Muar dekat sini, kelmarin.
Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan menerusi Ops Mahir dan Ops Sapu itu dibuat dari jam 10 pagi hingga 7.30 petang dengan seramai 374 warga asing termasuk warga tempatan diperiksa.
"Kita telah menahan seramai 50 warga asing membabitkan 16 lelaki warga Bangladesh, 26 lelaki dan enam wanita Myanmar serta dua lelaki Pakistan semuanya berusia antara 21 tahun hingga 42 tahun," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam operasi berasingan, tiga majikan warga tempatan ditahan dalam Ops Gegar selepas JIM Negeri Johor menyerbu empat premis pusat urut dan refleksologi di Batu Pahat, jam 7.10 petang kelmarin.
Mohd Rusdi berkata, mereka yang ditahan membabitkan seorang wanita berusia 70 tahun dan dua lelaki berusia 41 tahun yang juga penjaga premis pusat refleksologi.
Katanya, dalam operasi itu seramai 64 warga asing termasuk warga tempatan diperiksa dan tangkapan turut dibuat ke atas 20 wanita warga Thailand, seorang wanita warga Myanmar serta seorang wanita warga Indonesia berusia antara 20 tahun hingga 42 tahun.
Menurut beliau, tindakan semua operasi itu diambil susulan aduan awam yang diterima menyatakan terdapat sejumlah warga asing bekerja tanpa pas yang sah serta tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk tinggal di Malaysia.
Katanya, semua PATI yang ditahan dalam semua operasi disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
"Sebanyak enam notis untuk hadir ke pejabat masing-masing dikeluarkan sepanjang operasi-operasi itu dijalankan bagi membantu siasatan.
"Semua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nanas, Pontian, untuk siasatan dan tindakan lanjut," jelasnya.
Pada masa sama, Mohd Rusdi berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan lagi usaha penguatkuasaan di negeri itu bagi membanteras isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
Beliau berkata, pihaknya mengesan warga asing menyalah gunakan kemudahan untuk tinggal di Malaysia dan bekerja secara haram serta terbabit dengan aktiviti tidak bermoral.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap PATI yang melanggar undang-undang serta majikan dan pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas/permit yang sah," tegasnya.
|