
JIMHAR Albasar (tengah) dituduh memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang wanita di Nilai, September tahun lalu akan mengemukakan representasi. FOTO Arkib NSTP
Peguam R S Kerthinee yang mewakili tertuduh, Jimhar Albasar, 31, memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi di Mahkamah Sesyen, di sini, tadi.
Kerthinee berkata, representasi itu akan difailkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas meneliti dokumen berkaitan kes yang diperolehinya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan berkata, pihak pendakwaan sudah menyerahkan dokumen kepada pihak peguam hari ini.
Mahkamah kemudian menetapkan 20 Februari depan untuk sebutan semula kes dan keputusan representasi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu lori jenis Nissan didapati memandu kenderaan itu di bawah pengaruh dadah berbahaya jenis Methamphetamine sehingga menyebabkan kematian seorang wanita berusia 31 tahun.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 4.15 petang di Jalan Persiaran Negeri, di Nilai, pada 27 September lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020) dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000 serta hilang kelayakan memandu selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dari tarikh sabitan.
Media sebelum ini melaporkan pemandu lori yang terbabas dan merempuh lima kenderaan sehingga menyebabkan kematian seorang wanita di Persiaran Negeri, dekat persimpangan lampu isyarat Persiaran Golf, Nilai, didapati positif dadah.
Disiarkan pada: Januari 17, 2025
|