Muar: Pembantu restoran yang memecah masuk rumah hingga tular di media sosial mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan termasuk memiliki harta curi, awal bulan ini.
Muhammad Arif Shafiq Md Rizal, 29, yang juga bapa seorang anak membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.
Mengikut pertuduhan pertama, dia bersama dua rakan sejenayah yang masih bebas didakwa memecah masuk sebuah rumah di Taman Temiang Utama, Sungai Terap, di sini, pada 7.15 pagi, 5 Januari lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, penjara sehingga lima tahun dan denda dan juga penjara sehingga 14 tahun bagi sabitan kedua, serta denda atau sebat.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa menyimpan harta curi milik wanita berusia 52 tahun dan beg mengandungi gelang serta telefon bimbit lelaki berusia 41 tahun.
Kedua-dua perbuatan ini dilakukan di Jalan Bypass, Jalan Kim Kee dan Parit Buaya, di sini, antara 1 hingga 1.30 pagi, 6 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Prosiding dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilah Ahmad Rofaei, manakala tertuduh diwakili peguam Sakinah Suhaimi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 untuk kesemua pertuduhan dan menetapkan 7 Februari ini untuk tarikh sebutan semula.