Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. - Foto fail REUTERS
WASHINGTON: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan dana sebanyak AS$20 bilion (RM90.05 bilion) daripada pemaju Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan dilaburkan untuk membina pusat data di seluruh Amerika Syarikat.
Pengumumuman dibuat hanya beberapa hari sebelum Trump mengangkat sumpah pada 20 Januari ini.
Menurut laporan Xinhua, pada sidang media di estet Mar-a-Lago miliknya di Palm Beach, Florida, Trump memberitahu wartawan bahawa pelabur itu yang juga jutawan Emirat merangkap Pengerusi Hartanah DAMAC, Properties, Hussain Sajwani.
DAMAC Properties yang berpangkalan di Dubai, UAE, adalah antara syarikat pembangunan hartanah mewah terbesar di Asia Barat.
"Pelaburan itu akan menyokong pembangunan pusat data baharu yang besar di kawasan Midwest, Sun Belt dan memastikan Amerika berada di barisan hadapan dalam teknologi," kata Trump.
Trump menyatakan bahawa fasa pertama pelaburan itu akan tertumpu di Texas, Arizona, Oklahoma, Louisiana, Ohio, Illinois, Michigan dan Indiana.
"Kecerdasan buatan (AI) memainkan peranan penting dalam pusat data dan ia akan menjadi fokus utama pada tahun-tahun akan datang," kata presiden terpilih itu.
Pada Disember lalu, dalam satu lagi sidang media, Trump mengumumkan bahawa SoftBank Group Corp dari Jepun komited untuk melaburkan US$100 bilion (RM450 bilion) di Amerika Syarikat dalam tempoh empat tahun akan datang.
|