Ahli politik pembangkang Kemboja, Lim Kimya ditembak sebaik tiba di Bangkok, semalam.
BANGKOK : Polis Thailand mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang lelaki bersenjata yang disyaki menembak mati seorang ahli politik pembangkang Kemboja dalam serangan di pusat bandar Bangkok.
Ketua pembangkang Kemboja dalam buangan, Sam Rainsy menuduh bekas pemimpin berkuasa negara itu, Hun Sen mengarahkan pembunuhan Lim Kimya, semalam.
Kimya ditembak mati seorang lelaki bersenjata menaiki motosikal ketika dia tiba di ibu negara Thailand dari bandar Siem Reap, Kemboja dengan menaiki bas, ditemani isteri Perancisnya.
Polis sudah mengeluarkan waran ke atas penembak disyaki, yang tidak dinamakan, dengan media tempatan melaporkan lelaki dikehendaki itu adalah bekas anggota marin Thailand.
"Kami sedang menyiasat motifnya. Setakat ini, kami tidak mempunyai banyak maklumat, selain dia bekerja sebagai pemandu teksi motosikal," kata ketua polis tempatan, Sanong Sangmanee.
Sebilangan besar aktivis pembangkang Kemboja melarikan diri ke Thailand dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk mengelakkan penindasan yang didakwa kerap berlaku dalam negara itu.
Ada mereka yang ditahan dan dihantar pulang ke Kemboja.
Hun Sen memerintah Kemboja secara kuku besi selama hampir empat dekad, dengan kumpulan hak asasi manusia menuduhnya menggunakan sistem perundangan untuk menumpaskan penentang pemerintahannya.
Beliau berundur dan menyerahkan kuasa kepada anaknya, Hun Manet pada 2023 namun masih dilihat sebagai berkuasa dalam kerajaan.
Rainsy, saingan lama Hun Sen, menuduh bekas pemimpin Kemboja itu berada di belakang insiden pembunuhan itu.
"Tangan Hun Sen boleh dilihat di sebalik pembunuhan Kimya, sama seperti ia berada di belakang jenayah politik yang tidak terkira banyaknya di Kemboja," kata Rainsy dalam satu catatan di Facebooknya.
Jurucakap kerajaan Kemboja, Pen Bona memberitahu pembunuhan itu berlaku di Thailand, justeru pihak berkuasa Thailand akan mengendalikan kes itu.
Beliau yang menafikan kerajaan terbabit dengan insiden pembunuhan itu, sebaliknya menyatakan tokoh pembangkang sentiasa menuduh kerajaan atas segala-galanya tanpa alasan dan tanpa sebarang bukti.
Kimya menjadi Ahli Parlimen pembangkang Kemboja selepas menang dalam pilihan raya umum negara itu 2023 yang menyaksikan parti pemerintah Hun Sen nyaris tewas kepada pesaingnya ketika itu, Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP).
CNRP, diasaskan pada 2012 oleh Rainsy dan Kem Sokha dan pernah dianggap penentang tunggal kepada Parti Rakyat Kemboja (CPP) yang kini memerintah negara itu, kini ia sudah dibubarkan melalui perintah mahkamah pada 2017.
|