Pemimpin Syria Ahmed al-Sharaa bertemu dengan delegasi daripada komuniti Kristian di Damsyik pada 31 Disember 2024. - Foto AGENSI
DAMASCUS: Pemimpin Syria, Ahmed al-Sharaa mengadakan pertemuan dengan pemimpin kanan Kristian semalam di tengah-tengah desakan terhadap ketua Islamis itu untuk menjamin hak minoriti selepas mengambil alih kuasa awal bulan ini.
"Pemimpin pentadbiran baharu Syria, Ahmed al-Sharaa, bertemu dengan delegasi daripada komuniti Kristian di Damsyik," menurut Kenyataan Am Syria yang dikongsikan di Telegram.
Kenyataan berkenaan turut disertakan dengan gambar pertemuan bersama pemimpin agama Katolik, Ortodoks, dan Anglikan. Semalam, Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, menyeru supaya peralihan politik inklusif di Syria bagi menjamin hak semua komuniti pelbagai di negara itu.
Beliau turut menyatakan harapan supaya rakyat Syria dapat mengambil semula kawalan terhadap nasib mereka sendiri.
Namun, untuk perkara itu berlaku, negara berkenaan perlu melalui "peralihan politik di Syria yang merangkumi semua komuniti dalam kepelbagaian mereka, serta menjunjung hak asasi dan kebebasan asas," kata Barrot kepada AFPTV semasa lawatannya ke Lubnan bersama Menteri Pertahanan, Sebastien Lecornu.
Barrot dan Lecornu turut bertemu Ketua Tentera Lubnan, Joseph Aoun serta melawat pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengawal sempadan selatan, di mana gencatan senjata mengakhiri pertempuran sengit antara Israel dan Hizbullah pada akhir November.
Sejak mengambil alih kuasa, kepimpinan baharu Syria secara berulang kali cuba meyakinkan golongan minoriti bahawa mereka tidak akan diancam, walaupun beberapa insiden mencetuskan protes.
Pada 25 Disember lalu, ribuan orang mengadakan protes di beberapa kawasan di Syria selepas sebuah video yang menunjukkan serangan terhadap makam Alawite di utara negara itu tersebar.- AFP Januari 1, 2025
|