TAWAU: Seorang wanita tempatan yang menggunakan sijil lahir anaknya yang telah meninggal dunia untuk mendaftarkan kad pengenalan seorang warga asing, dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan.
Rosimah Bakkal, 33, juga didenda RM10, 000 atau lapan bulan penjara oleh Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Rosimah mengaku melakukan kesalahan itu pada 7 Oktober 2024, jam lebih kurang 12.06 tengah hari di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Tawau, Sabah.
Mengikut kertas pertuduhan, Rosimah sebagai penjamin, mengaku sebagai ibu semasa mendaftarkan kad pengenalan atas nama Mohammad Syahrizan Abdullah kepada seorang kanak-kanak yang bukan anak kandungnya.
Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, teruduh melakukan cubaan sebanyak dua kali sebelum ditahan.
Mulanya tertuduh telah datang ke JPN Tawau pada 4 Oktober 2024 bersama seorang kanak-kanak untuk membuat permohonan Kad Pengenalan 12 Tahun menggunakan sijil kelahiran atas nama Mohammad Syahrizan Abdullah, yang merupakan anak kandungya.
Semasa permohonan diproses, pegawai bertugas mendapati fizikal kanak-kanak tersebut tidak menyerupai kanak-kanak berusia 12 tahun secara umum.
Satu soal siasat ringkas dilakukan oleh pegawai tersebut dan tertuduh mengaku bahawa kanak-kanak yang dipohonkan Kad Pengenalan itu bukan anak kandungnya.
Tertuduh juga mengaku bahawa pemilik sebenar sijil lahir tersebut adalah anaknya yang telah meninggal dunia.
Pada 7 Oktober 2024, tertuduh sekali lagi hadir, kali ini membawa kanak-kanak lain, untuk membuat permohonan Kad Pengenalan 12 Tahun. Tertuduh berjaya mendaftarkan kanak-kanak tersebut dan kad pengenalan bernombor 121004-12-1477 atas nama Syahrizan Abdullah telah dikeluarkan.
Namun, hasil semakan oleh penyelia kaunter Kad Pengenalan mendapati terdapat keraguan dalam permohonan dan pengeluaran Kad Pengenalan tersebut.
Satu aduan telah dibuat dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Negeri Sabah, yang akhirnya membawa kepada penangkapan tertuduh.
Siasatan lanjut mendapati bahawa pemilik sijil kelahiran berkenaan telah meninggal dunia pada 29 Februari 2024 di Hospital Tawau, dan tertuduh gagal mendaftarkan kematian anaknya.
Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili oleh peguam, meminta hukuman ringan kerana masih mempunyai anak kecil yang perlu dijaga.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Mohamad Faizal Tahir dari JPN memohon hukuman setimpal dan bersifat mencegah (deterrent) agar menjadi pengajaran kepada masyarakat agar tidak mempermainkan dokumen rasmi negara.
“Tertuduh telah mengaku bersalah atas kesalahan memberikan dokumen pengenalan anak yang telah meninggal dunia kepada warga asing, satu kesalahan serius di bawah Akta Pendaftaran Negara.
“Walaupun tertuduh menunjukkan keinsafan dengan pengakuan salah, tindakan tersebut membuka ruang kepada penyamaran identiti, menjejaskan keselamatan negara, dan menipu sistem kerajaan,” katanya. - SABAH MEDIA
|