Pelancong mula masuk Langkawi hari ini sempena LIMA'25 bermula esok
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Mei 19, 2025 @ 8:45am

Orang ramai mula memasuki Langkawi sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) yang akan berlangsung pada 20 hingga 24 Mei di Terminal Feri Kuala Kedah. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir
KUALA KEDAH: Orang ramai mula memasuki Pulau Langkawi menggunakan perkhidmatan feri dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis hari ini untuk menyaksikan Pameran Maritim Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) yang bermula esok sehingga Sabtu ini.
Bagaimanapun kedua-dua terminal feri dijangka hanya sesak mulai Khamis ini berikutan pameran dibuka untuk orang awam pada Jumaat dan Sabtu ini.
Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid, berkata setakat ini jumlah tiket dalam sistem penjualan sebanyak 113,000 dengan 60,000 tiket sudah terjual.
"Setakat hari ini, sehingga bermulanya LIMA'25 esok, Ferry Line berharap tiada sebarang masalah yang bakal berlaku.
Terkini Ferry Line sudah pun menambah 122 trip tambahan berdasarkan jumlah permintaan penjualan tiket yang semakin menggalakkan dan mendapat sambutan.
"Ferry Line akan menambahkan lagi trip tambahan sekiranya berlaku permintaan di luar jangkaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Norhafiz berkata, Ferry Line juga turut melanjutkan perkhidmatan trip tambahan sehingga jam 10 malam untuk trip kedua-dua hala, Langkawi ke Kuala Perlis dan Langkawi ke Kuala Kedah.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/05/1397620/pelancong-mula-masuk-langkawi-hari-ini-sempena-lima25-bermula-esok
|