Kepala Batas: Seorang jurutera kilang menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian selepas wang simpanannya berjumlah RM300,000 hangus angkara terpedaya dengan pulangan yang menjanjikan keuntungan tinggi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, berkata mangsa lelaki berusia 55 tahun berhubung dengan seorang wanita selepas melihat iklan pelaburan berkonsepkan jual beli saham di laman sosial Facebook (FB) pada awal bulan lalu.
Menurutnya, mangsa berminat untuk menyertai pelaburan itu kerana tawaran yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.
"Dia diminta untuk memuat turun aplikasi dikenali 'NBMAX' dan mendaftar sebagai ahli sebelum membuat pelaburan.
"Tanpa memeriksa terlebih dahulu, mangsa kemudian melakukan tujuh transaksi kemasukan wang ke dalam satu akaun berjumlah keseluruhan RM300,000.
"Mangsa akhirnya menyedari dirinya ditipu apabila ingin membuat penambahan modal sebanyak RM52,800 di kaunter bank yang mana pihak bank memaklumkan menjadi mangsa penipuan dan tidak membenarkan transaksi itu dibuat," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini, semalam untuk tindakan lanjut.
" Orang ramai diingatkan bahawa mana-mana skim pelaburan khususnya yang ditawarkan secara dalam talian adalah sangat berisiko dan telah berulang kali diingatkan supaya tidak mudah terpedaya.
"Berdasarkan kes ini adalah sangat penting maklumat berkaitan pencegahan jenayah komersil disampaikan kepada seluruh lapisan masyarakat.
"Hakikatnya, jenayah penipuan dalam talian adalah ancaman yang boleh menggugat kestabilan ekonomi negara. Jenayah ini boleh dicegah dan dielakkan sekiranya masyarakat memiliki pengetahuan dan berwaspada terhadap potensi penipuan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.