Alor Setar: Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menggesa pihak berkuasa memperketat pemantauan terhadap penjualan vape secara dalam talian susulan langkah kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen penjualan produk itu di premis fizikal menjelang hujung tahun ini.
Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, meskipun larangan penjualan di premis dilihat sebagai langkah proaktif namun penjualan dalam talian lebih sukar dikawal.
Menurutnya, kaedah penjualan dalam talian boleh menjejaskan keberkesanan menangani isu berkenaan.
"Kita bimbang walaupun penjualan di premis diharamkan, pembelian vape akan terus berlaku melalui platform dalam talian.
"Teknologi hari ini memudahkan urusan pembelian secara maya, malah penjual boleh beroperasi tanpa premis tetap," katanya semalam.
Mohamad Yusrizal berkata, agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPD dan juga pihak polis perlu bekerjasama mengekang aktiviti berkenaan.
"Langkah ini perlu dilihat sebagai permulaan, kita juga mahu kerajaan meneliti penjualan produk lain yang memudaratkan seperti rokok dan alkohol.
"Jika lesen tidak dapat dibatalkan, kita mohon ia dihadkan demi kesihatan awam," katanya.
Menurut beliau, kerajaan juga perlu merancang strategi ekonomi jangka panjang untuk menampung kekurangan hasil cukai susulan pelaksanaan larangan terbabit.
"Memang benar vape menyumbang hasil melalui cukai, tetapi kita difahamkan cukai vape tidak disalurkan kepada kerajaan negeri. Jadi tidak timbul isu besar jika lesen penjualan vape diharamkan di peringkat negeri.
"Namun begitu, kerajaan perlu mencari alternatif lain bagi menambah pendapatan tanpa membebankan rakyat dengan cukai baharu," katanya.
Mengulas isu penggunaan bahan terlarang seperti cecair mushroom yang dikaitkan dengan vape, Mohamad Yusrizal mencadangkan pemantauan menyeluruh dan tindakan keras terhadap penjual yang menyalahgunakan produk vape.
"Setakat ini, kita jarang dengar kedai fizikal jual perisa terlarang ini. Kebanyakannya dijual secara dalam talian atau saluran haram. Jadi penguatkuasaan perlu dipertingkat bagi mengelak ketagihan dan bahaya kepada pengguna.
"Kita harap semua pihak berganding bahu, selain kerajaan dan agensi penguatkuasaan, masyarakat juga perlu main peranan untuk membantu membendung masalah ini. Ini bukan sekadar isu lesen, tapi isu kesihatan dan masa depan rakyat," tegasnya.
Kelmarin media melaporkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegur sikap segelintir guru dan pentadbir sekolah yang tidak mahu mendedahkan masalah dadah dalam kalangan pelajar, semata-mata kerana mahu menjaga imej sekolah.