Kereta Ahli Parlimen Langkawi 'terjun' tali air ketika elak motosikal di Yan
Oleh Noorazura Abdul Rahman - Mei 12, 2025 @ 5:31pm

Keadaan kereta dipandu Ahli Parlimen Langkawi yang terbabas ke tali air di Jalan Sungai Dedap-Yan
YAN: Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Suhaimi Abdullah cedera ringan selepas kereta dinaiki bersama isteri terbabit kemalangan di Jalan Sungai Dedap-Yan di sini pagi tadi.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 10 pagi semasa Suhaimi dalam perjalanan menziarahi seorang kenalan yang meninggal dunia di pekan Sungai Limau.
Menurut sumber, ketika sampai ke lokasi, sebuah motosikal ditunggang dikatakan membuat pusingan 'U' menyebabkan Suhaimi cuba mengelak sebelum kenderaannya terbabas ke tebing sebuah tali air di situ.
Pengerusi BERSATU Kedah itu hanya cedera ringan pada bibir, manakala isterinya tidak mengalami kecederaan.
Bagaimanapun kereta jenis Nissan Almera dinaiki mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan.
Suhaimi dan isteri dibantu orang ramai, sebelum kenderaannya ditarik keluar dari tebing tali air berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi BERSATU Kedah, Datuk Salleh Saidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
"Alhamdulillah semua selamat. Terima kasih atas doa semua," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/05/1395114/kereta-ahli-parlimen-langkawi-terjun-tali-air-ketika-elak-motosikal-di
|