KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menumpaskan cubaan menyeludup dadah berbahaya jenis Methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM347,200 dalam satu operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 16 April lalu.
Pengarah Kastam Sarawak Norizan Yahya berkata kejayaan itu adalah hasil kerjasama antara Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) dan Cawangan Narkotik JKDM Sarawak.
Menurutnya, dalam operasi sekitar jam 12 tengah hari itu, pihak UKPP mengesan pergerakan mencurigakan seorang lelaki tempatan yang baru tiba dari Kuala Lumpur. "Suspek dilihat menuntut sebuah kotak di ruangan bagasi sebelum membawanya ke tandas.
"Hasil pemeriksaan ke atas suspek dan kotak yang dibawanya menemui 10 bungkusan plastik lutsinar mengandungi dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 10,136 gram," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, dadah tersebut disembunyikan bersama makanan ringan dalam cubaan mengaburi mata pihak berkuasa.
"Modus operandi ini dipercayai digunakan oleh sindiket penyeludupan dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak melalui laluan udara," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 15 sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.
JKDM turut menyeru orang ramai agar tidak terbabit dalam sebarang aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja merugikan negara dari segi hasil serta turut mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan kepada pihak JKDM melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat kastam berhampiran.
"Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya," kata Norizan.
|