
Wee (dua kanan) bergambar bersama baju dan kit dengan jawatankuasa penganjur ‘Bestride Borneo – City Run’, 11 Mei ini.
KUCHING: Larian ‘Bestride Borneo – City Run’ akan berlangsung pada 11 Mei 2025 sebagai inisiatif jangkauan awam yang dianjurkan bersama oleh BES Team Sdn Bhd dan City Jogger’s Club.
Acara tersebut menurut kenyataan yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), didorong komuniti sebagai sebahagian daripada sambutan BES2025 dan bertujuan\mempromosikan kehidupan bandar yang sihat dan mampan.
“Lebih 1,300 peserta telah mendaftar untuk larian bandar sejauh 3km dan 7km, yang akan berlangsung di Kuching pada 11 Mei. Acara itu akan dirasmikan oleh Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng yang juga akan memulakan larian,” katanya.
Larian Bestride Borneo-City adalah sebahagian daripada Borneo Eco Show(BES) 2025, Festival Reka Bentuk yang akan berlangsung pada 9, 10 dan 11 Mei 2025.
Forum Reka Bentuk BES, Ekspo Perdagangan BES dan Pemasangan Seni Kadbod yang akan diadakan pada 9 Mei 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) menjadi acara perintis yang menumpukan kepada mempromosikan kehidupan mampan melalui reka bentuk, terutama dalam industri pembinaan.
Forum Reka Bentuk BES terdiri daripada dua hari kuliah mengenai reka bentuk lestari oleh arkitek terkenal dari Sri Lanka, Amerika Syarikat, China, Taiwan, Singapura dan Malaysia manakala Ekspo Perdagangan BES akan menjadi pameran dua hari inovasi dan produk oleh pelbagai pemain industri pembinaan dan menampilkan Pemasangan Seni Kadbod berskala besar yang dibuka untuk lawatan orang ramai secara percuma.
|