KUCHING: Shell Malaysia menyeru semua pelajar yang bersemangat dalam mengejar kerjaya dalam industri tenaga untuk memohon Program Biasiswa Shell yang telah dibuka permohonan tahunan bagi pelajar yang mengikuti peluang pendidikan tinggi tersebut.
Menurut satu kenyataan pihaknya hari ini, program tersebut menawarkan peluang kepada pemohon yang berjaya untuk mengikuti pengajian sarjana muda di universiti global terkemuka, bersama peluang bimbingan dan latihan amali.
“Selepas tamat pengajian, para sarjana akan berpeluang memulakan kerjaya yang bermanfaat dalam pelbagai bidang, termasuk kejuruteraan, geosains dan disiplin komersial, dalam operasi syarikat,” kata Pengerusi Negara Shell Malaysia dan Naib Presiden Kanan Gas Bersepadu dan Huluan Malaysia Siti Sulaiman.
Keduanya juga menekankan bahawa Program Biasiswa Shell direka untuk menarik minda paling cerdik negara, menawarkan mereka perjalanan pendidikan yang berharga.
Menurutnya lagi, Shell komited untuk membantu bakat-bakat ini menjadi pemimpin dan pakar industri yang menginspirasi dan dicari-cari pada masa depan.
“Kami memerlukan lebih ramai profesional yang berkelayakan tinggi, yang akan menyumbang kepada sektor tenaga dan memainkan peranan dalam mencapai aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dan mampan,” kongsi Siti yang merupakan bukti kejayaan program itu, pernah menjadi Sarjana Shell pada masa lalu.
Program Biasiswa Shell meliputi perbelanjaan berkaitan pengajian langsung, termasuk yuran pengajian, perbelanjaan sara hidup, buku dan elaun lain, bergantung kepada prestasi akademik calon.
Dana itu juga disediakan untuk kedua-dua peringkat pra-universiti di sekolah berasrama penuh tempatan dan pendidikan sarjana muda di universiti terkemuka di Amerika Syarikat, United Kingdom atau Australia.
Pemohon akan dimaklumkan mengenai keputusan pemilihan pada akhir Julai 2025.
Permohonan untuk Kelas 2025 Shell Scholars ditutup pada 14 Mei 2025, jam 11.59 malam.
Kelayakan dan syarat bagi Program Biasiswa Shell 2025 bertujuan menyediakan bantuan kewangan dan kerjaya kepada pelajar yang berminat melanjutkan pengajian tinggi dalam bidang pengajian Kejuruteraan: Mekanikal, Awam, Kimia, Petroleum, Elektrik dan Elektronik, Alam Sekitar, Mampan, Sains: Geologi, Geosains, Geomatik, Geofizik, Sains Data, Komersial: Perniagaan dan Pengurusan serta Pemasaran Digital.
Calon yang berminat mestilah lepasan SPM 2024 atau 2025 O-Level dengan sekurang-kurangnya 8A (A/A+) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau mempunyai gred O-level Cemerlang di IGCSE (A*/A).
|