Laluan baharu Bukit Kayu Hitam-Sadao siap lebih awal
Oleh M Hifzuddin Ikhsan - Mei 3, 2025 @ 11:36am

Nanta melihat pelan Projek Pembinaan Laluan Jalan Raya Bagi Menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam Ke CIQ Sadao, Thailand di ICQS Bukit Kayu Hitam. - Foto NST/Wan Nabil Nasir
BUKIT KAYU HITAM: Pembinaan laluan baharu menghubungkan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand, dijangka dapat disiapkan lebih awal.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata projek pembinaan jalan berkenaan adalah milik Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dilaksanakan Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR).
Beliau berkata projek bernilai RM141.6 juta itu kini mencapai tahap kemajuan 47 peratus siap dengan ia dijangka dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan iaitu pada September depan.
"Skop utama projek ini adalah merangkumi pembinaan jalan berkembar enam lorong dua hala baharu sepanjang 900 meter di sempadan Malaysia-Thailand.
"Kerja pembinaan turut membabitkan pembinaan Jalan Perkhidmatan piawaian sepanjang 300 meter ke Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Kayu Hitam.
"Turut dilakukan kerja merobohkan bangunan dan fasiliti lama bagi menggantikan dengan bangunan baru Kem Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu Nanta melakukan lawatan ke tapak pembinaan laluan berkenaan dan menerima taklimat yang disampaikan pihak kontraktor mengenai kemajuan projek.
Mengulas lanjut, Nanta berkata, pihaknya komited merancakkan pembangunan infrastruktur termasuk pembinaan jalan raya di sempadan negara bagi meningkatkan aspek keselamatan dan memperkukuh aktiviti ekonomi.
Katanya, apabila siap kelak, laluan ini akan mempercepatkan proses imigresen dan aliran trafik di kawasan sempadan Malaysia-Thailand membabitkan semua kenderaan awam serta komersial.
"Saya telah arahkan pihak pengurusan projek, JKR Malaysia dan Kedah serta kontraktor bekerjasama menyiapkan projek ini mengikut spesifikasi kualiti, kos dan masa ditetapkan.
"Ini adalah selaras dengan sasaran kita ke arah sifar projek sakit dan hasrat Kerajaan MADANI meningkatkan kualiti penduduk di sempadan melalui kemudahan yang lengkap," katanya.
Pada November 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuannya bersama Perdana Menteri Thailand ketika itu, mengumumkan pembinaan jajaran baharu laluan menghubungkan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan Kompleks CIQ Sadao.
Pembinaan itu susulan keputusan kerajaan Thailand membina Kompleks CIQ Sadao yang baru bagi menggantikan bangunan sedia ada yang tidak lagi mampu menampung aliran trafik dan jumlah pengunjung yang ramai.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/05/1391712/laluan-baharu-bukit-kayu-hitam-sadao-siap-lebih-awal
|