CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 105|Reply: 0

Muka merah, pedih lepas makan pedas? Awasi petanda awal penyakit kulit kronik boleh jejas keyakinan wanita

[Copy link]
Post time 3-5-2025 08:12 AM | Show all posts |Read mode



SUDAH menjadi lumrah bagi wanita untuk mengambil berat tentang penampilan wajah meliputi kulit yang sihat, bersih dan berseri sebagai simbol keyakinan dan kecantikan.

Namun, bagaimana jika kulit secara tiba-tiba menjadi merah, pedih, kering dan gatal tanpa sebab yang jelas?

Lebih membimbangkan, keadaan itu mungkin bukan sekadar masalah kulit biasa tetapi merupakan petanda awal kepada penyakit kulit kronik yang dikenali sebagai rosacea.

Rosacea merupakan sejenis radang kulit yang boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang sekiranya tidak dirawat dengan betul.

Rosacea biasanya muncul pada bahagian muka, namun ia juga boleh merebak ke leher, dada, hidung atau sekitar mata.

Pakar Dermatologi dan Venereologi Estetik, Dr Nani Kumala Dewi berkata, walaupun punca sebenar rosacea masih belum diketahui tetapi terdapat beberapa faktor pencetus yang boleh mendorong kemunculan simptom.

“Faktor pencetus bagi setiap pesakit adalah berbeza. Ada yang disebabkan oleh perubahan cuaca sama ada terlalu panas atau terlalu sejuk.

"Malah, pemakanan juga memainkan peranan besar. Makanan pedas, panas serta makanan yang diperam seperti keju dan yogurt adalah antara yang paling biasa menjadi punca," katanya.


Tambahnya lagi, tekanan (stres) yang tidak dikawal serta kekurangan tidur turut menyumbang kepada kemunculan rosacea.

“Kadang-kadang, pesakit terbangun pada keesokan harinya dengan muka merah dan keadaan itu akan mengambil masa yang lama untuk surut," katanya.

Simptom rosacea bukan sahaja terhad kepada kemerahan.

Jika dibiarkan berlarutan, ia boleh menyebabkan rasa pedih, gatal dan kulit menjadi sangat kering.

Dalam kes lebih teruk, kulit seseorang boleh timbul nanah serta rasa panas yang menyakitkan.

Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kesihatan kulit tetapi juga boleh memberi kesan psikologi terutamanya kepada wanita yang amat mementingkan penampilan.

Menyedari perkara ini, Dr Nani menasihatkan agar pesakit memantau dan merekodkan gejala  yang mungkin berkait dengan keadaan mereka.

“Contohnya, saya mempunyai pesakit yang setiap kali makan ayam atau itik, rosacea akan tercetus keesokan harinya.

"Jadi, jika kita tahu apa pencetusnya, kita boleh elakkan dan masalah seterusnya dapat dikurangkan,” kata doktor yang kini berkhidmat di klinik Dermalogia Senopati, Indonesia itu.


Dari segi rawatan, penjagaan kulit yang betul amat penting.

Seseorang perlulah mengelakkan penggunaan produk yang mengandungi bahan seperti SLS, alkohol dan minyak wangi.

Sebaliknya, pilih pembersih wajah yang lembut, elakkan menggosok muka terlalu kuat dan pastikan tidak menggunakan air panas ketika mencuci muka.

Penggunaan pelembap dan pelindung matahari juga sangat disarankan untuk membantu memulihkan lapisan perlindungan kulit (skin barrier).

"Produk penjagaan kulit kena tukar kepada pencuci lembut tanpa buih. Elakkan penggunaan berlebihan.

"Selepas cuci muka, terus pakai pelembap supaya kulit tidak terus meradang,” nasihat Dr Nani.


Bagi wanita yang kerap berdepan tekanan kerja, kurang tidur serta kerap menggunakan solekan, adalah penting untuk memberi ruang kepada kulit untuk berehat.

Seseorang juga perlulah mendapatkan nasihat pakar dermatologi sekiranya mengalami gejala mencurigakan.

Rosacea mungkin kelihatan seperti masalah kulit biasa, namun jika tidak ditangani dengan betul, ia boleh memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan dan keyakinan diri seseorang. — Agensi




This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-5-2025 02:26 AM GMT+8 , Processed in 0.039986 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list