CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 44|Reply: 0

[Kedah] Lahirkan lebih ramai pakar taranum

[Copy link]
Post time 3-5-2025 08:06 AM | Show all posts |Read mode
Edited by sfhzuraz at 3-5-2025 08:08 AM

Lahirkan lebih ramai pakar taranum

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
03 Mei 2025 07:20am




Akademi Taranum Datuk Haji Ismail Hashim akan dibuka di Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah di Alor Setar.



ALOR SETAR – Cadangan penubuhan Akademi Taranum Datuk Haji Ismail Hashim di Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah bakal membuka lembaran baharu dalam usaha melahirkan lebih ramai pakar taranum yang berwibawa terutama dalam kalangan anak muda negeri ini.

Akademi yang dicadangkan untuk memperkenalkan seni bacaan al-Quran dan teknik taranum dijangka menjadi pusat utama pengembangan ilmu berkaitan di Malaysia.


Pegawai Tadbir Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah, Muhammad Yusni Yaakob berkata, akademi ini disasarkan kepada golongan berusia antara 13 hingga 18 tahun, dengan setiap kumpulan peserta seramai 20 orang.

Menurutnya, akademi tersebut bakal mengambil kumpulan pertama pelajar pada tahun ini yang akan mengikuti program intensif selama tiga tahun di mana modul pengajaran merangkumi taranum, tajwid, fasohah serta ilmu maqamat suara.


“Kami mahu memastikan anak-anak Kedah memiliki asas yang kukuh dalam seni taranum dan mampu membaca al-Quran dengan penuh kemerduan serta teknik yang betul.

“Melalui akademi ini, pelajar akan dibimbing secara menyeluruh sehingga bergraduasi dengan sijil pengiktirafan,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi menjayakan akademi ini, beberapa nama besar dalam bidang taranum dan ilmu al-Quran telah dicadangkan sebagai tenaga pengajar, antaranya Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim, Othman Azumi Ahmad, Mohammad Idrus Ismail dan Syeikh Kadri Abdul Hamid.

Muhammad Yusni berkata, tenaga pengajar yang berpengalaman luas ini akan memberi bimbingan berkualiti tinggi kepada pelajar dan memastikan setiap individu mendapat ilmu yang mendalam serta praktikal.

Menurutnya, program ini tidak hanya bertujuan melahirkan qari dan qariah, tetapi juga membangunkan generasi muda yang berdaya saing dalam bidang seni bacaan al-Quran.

“Kami yakin akademi ini akan menjadi pusat rujukan utama kepada mereka yang ingin mendalami seni taranum dan menjadi pakar dalam bidang ini,” jelasnya.

Dengan kelas yang dijalankan setiap minggu, akademi ini dijangka menarik minat pelajar untuk mendalami seni taranum secara serius.

Muhammad Yusni menegaskan bahawa silibus yang lengkap dan modul praktikal akan membantu pelajar meningkatkan kemahiran mereka dalam bacaan al-Quran.

“Kami mahu memastikan seni taranum terus dipelihara di Kedah, dengan melahirkan qari dan qariah berkualiti tinggi yang dapat membawa nama negeri ini ke peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Akademi ini dicadangkan untuk dinamakan sebagai Akademi Taranum Datuk Haji Ismail Hashim yang merupakan seorang ikon dalam ilmu taranum dikenali ramai.

Pemilihan nama beliau sebagai inspirasi dilihat mampu memberi motivasi kepada pelajar untuk mendalami seni bacaan al-Quran secara teknikal dan artistik.

Allahyarham Ismail atau lebih dikenali Ustaz Ismail Hashim dilahirkan pada 16 April 1932 di Jerlun, Kedah.

Beliau merupakan qari ulung negara yang telah dinobatkan sebagai Johan Qari Peringkat Kebangsaan sebanyak sembilan kali dan lapan kali menjadi johan tilawah peringkat antarabangsa pada tahun 1963, 1965, 1966, 1969, 1970, 1971, 1974 dan 1975.

Allahyarham yang juga merupakan guru al-Quran dan agama meninggal dunia pada 7 Ogos 1996 kerana menghidap sakit jantung ketika berusia 64 tahun.

https://www.sinarharian.com.my/article/726380/edisi/utara/lahirkan-lebih-ramai-pakar-taranum


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-5-2025 12:11 PM GMT+8 , Processed in 0.064686 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list