
Tiong menerima cenderamata model bot laju sempena pelancaran Sibu International Powerboat Race 2025 di Tebingan Pulau Li Hua, Sibu hari ini.
SIBU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mencadangkan agar Sibu International Powerboat Race diperkasakan dengan penglibatan lebih ramai peserta antarabangsa pada masa akan datang.
Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja dapat menarik kehadiran pelancong ke Sibu, malah memberi peluang kepada generasi muda tempatan untuk menimba ilmu dan pengalaman berkaitan sukan air bertaraf dunia.
"Kita perlu jadikan acara ini sebagai platform antarabangsa.
"Apabila lebih ramai peserta luar terlibat, ia akan membuka ruang pertukaran pandangan dan pemahaman mengenai peraturan serta teknik perlumbaan mengikut piawaian global," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Sibu International Powerboat Race 2025 di Tebingan Pulau Li Hua di sini, hari ini.
Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN (ADUN) Dudong turut menyatakan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur dan semua agensi yang terlibat kerana berjaya menjayakan acara tersebut dengan komitmen yang tinggi.
Tiong (duduk tengah) merakamkan gambar kenangan bersama para tetamu yang hadir pada majlis pelancaran tersebut.
Katanya, penganjuran perlumbaan itu berjaya membuka tirai baharu dalam pembangunan sukan air Sarawak dan berpotensi menjadi acara utama dalam Kalendar Pelancongan negeri.
Dalam pada itu, Tiong berkata kawasan Tebingan Pulau Li Hua berpotensi dibangunkan sebagai mercu tanda sukan air di Sibu melalui perancangan rapi dan kerjasama pelbagai agensi.
“Kita perlu berbincang bersama Pejabat Residen, agensi kerajaan dan NGO tempatan untuk merangka pelan pembangunan infrastruktur dan kemudahan,” jelasnya.
Beliau turut mencadangkan agar cadangan pembangunan itu dibawa ke peringkat kerajaan negeri dan seterusnya dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi untuk pertimbangan lanjut.
Tiong pada masa sama menasihati peserta agar mengekalkan semangat kesukanan dan mengutamakan keselamatan sepanjang kejohanan berlangsung.
“Saya harap tidak ada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku akibat emosi. Berlumbalah secara profesional,” tegasnya.
Beliau menyasarkan kehadiran antara 10,000 hingga 20,000 penonton sepanjang tiga hari kejohanan berlangsung, dengan lebih 3,000 pengunjung direkodkan pada hari pertama.
Sebanyak 262 bot dari pelbagai kategori termasuk penyertaan dari negara jiran Brunei menyertai perlumbaan kali ini.
Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, kementeriannya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk membantu menjayakan perlumbaan tersebut.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyalurkan tambahan peruntukan sekiranya ia benar-benar diperlukan selepas perbincangan lanjut dengan pihak terlibat.
"Saya faham kos penganjuran agak tinggi.
"Kalau betul-betul tidak mencukupi, kita boleh duduk berbincang dan saya akan cuba bantu setakat yang mampu," jelasnya.
Beliau turut mencadangkan agar lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil antarabangsa dilibatkan dalam perancangan acara akan datang, termasuk dalam aspek promosi dan strategi pembangunan sukan.
|