
Thorbjorn bercakap kepada media semasa ditemui selesai kunjungan hormat. - Gambar UKAS
KUCHING: Siemens Energy mengukuhkan komitmennya terhadap pembangunan tenaga bersih di Sarawak dengan menawarkan dua turbin gas berkapasiti 500 megawatt (MW) setiap satu bagi menyokong projek tenaga di Samalaju.
Perkara ini diumumkan oleh Pengarah Urusan Siemenes Energy Thorbjorn Fors semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), dalam pertemuan itu, Siemens Energy menyatakan minat mendalam untuk bekerjasama dalam memajukan ekonomi hidrogen Sarawak, termasuk mempercepatkan pengeluaran dan penggunaan hidrogen serta memperkukuh kemahiran tenaga kerja tempatan.
Syarikat itu juga komited untuk menjalin kerjasama dengan universiti dan institusi pendidikan di Sarawak bagi menyediakan latihan dan peluang pembangunan kepada pelajar tempatan.
"Kami berkomitmen untuk bekerjasama dengan universiti dan institusi lain di Sarawak, berkongsi pengetahuan kami dan membawa pelajar ke Siemens Energy untuk latihan pada masa hadapan," katanya ketika ditemui media.
Delegasi Siemens Energy diketuai Thorbjorn (empat kiri) merakamkan gambar bersama Abang Johari (empat kanan) semasa kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, hari ini. - Gambar UKAS
Siemens Energy turut menekankan potensi besar Sarawak dalam sektor tenaga bersih, memandangkan sumber daya alamnya yang melimpah seperti hidro, minyak, dan gas.
Syarikat itu turut melihat Sarawak sebagai pemain penting dalam grid tenaga ASEAN serta pengeluar molekul tenaga bersih seperti amonia dan gas.
Dengan penawaran dua turbin gas berkapasiti tinggi untuk projek Samalaju, Siemens Energy berharap dapat mengambil langkah seterusnya dalam merealisasikan projek tersebut yang juga merupakan sebahagian daripada program yang telah dibincangkan bersama Premier Sarawak.
Kerjasama ini juga sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi hab tenaga hijau ASEAN menjelang 2035, dengan sasaran meningkatkan kapasiti elektrik kepada 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 15GW menjelang 2035.
Siemens Energy, melalui projek seperti HYFLEXPOWER, telah membuktikan keupayaan turbin gasnya untuk beroperasi dengan 100 peratus hidrogen, menjadikannya rakan strategik yang ideal dalam usaha Sarawak mencapai matlamat tenaga bersih dan mampan.
|