Georgetown: Polis sedang menyiasat sebanyak lima laporan mengenai kejadian samun di daerah Timur Laut, di sini yang disahkan palsu dan tidak berlaku.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan itu dilakukan antara tempoh 1 Januari hingga 31 Mac lalu.
"Alasan laporan palsu itu dibuat oleh masing-masing pengadu adalah bagi mengelak daripada dikenakan denda untuk memperbaharui kad pengenalan sedangkan ia hilang atas kecuaian sendiri.
"Polis memandang serius terhadap sikap ini dan menasihati orang ramai supaya tidak buat laporan polis yang palsu dalam apa juga keadaan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Abdul Rozak berkata, laporan palsu yang dibuat adalah kesalahan jenayah mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
"Individu yang disabit kesalahan buat laporan palsu boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali," katanya lagi.