Lafaz ikrar rukun negara di Persidangan DUN Perlis hari ini
BERNAMA

Sidang Dewan Undangan Negeri Perlis dimulai dengan lafaz ikrar Rukun Negara buat julung kalinya pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 yang berlangsung di Kompleks DUN Perlis, hari ini. FOTO BERNAMA
Kangar: Ikrar Rukun Negara dilafazkan buat kali pertama pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini.
Lafaz ikrar itu diketuai Penolong Setiausaha DUN dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Mohd Anwar Sahul Hameed.
Speaker DUN Perlis Rus'sele Eizan berkata Perlis menerima surat daripada Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang pada 12 September tahun lalu berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan lafaz ikrar semasa pembukaan rasmi persidangan DUN.
"Bagi memastikan Rukun Negara terus dihayati dan dibudayakan dalam kehidupan masyarakat... Dewan ini berbesar hati untuk melaksanakan inisiatif berkenaan pada setiap sesi pembukaan penggal persidangan mulai tahun ini," katanya pada persidangan DUN di sini hari ini.
Lafaz ikrar Rukun Negara kali pertama dilakukan pada persidangan Dewan Rakyat, 27 Februari tahun lalu.
Disiarkan pada: April 23, 2025 @ 12:44pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/04/1210800/lafaz-ikrar-rukun-negara-di-persidangan-dun-perlis-hari-ini
|