Edited by sfhzuraz at 23-4-2025 12:25 AM
Pusat Arkeologi Guar Kepah dijangka dibuka Julai depan
MOHD ISKANDAR OTHMAN
22 April 2025 03:48pm

Rangka manusia Guar Kepah yang dikenali sebagai Penang Women dijumpai di tapak arkeologi Guar Kepah pada 2017.
BATU KAWAN - Pembinaan Pusat Arkeologi Guar Kepah di Kepala Batas telah siap sepenuhnya sejak tahun lalu.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan berkata, projek berkenaan juga telah diserahkan kepada Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) untuk tindakan selanjutnya.
"NCIA telah siapkan projek Guar Kepah pada tahun lepas dan kita telah serahkan projek tersebut kepada CMI.
"Difahamkan, projek ini akan dilancarkan pada Julai tahun ini selepas semua pecahan rangka manusia Guar Kepah yang tersimpan rapi di Collection Centre Netherlands (CCNL) dibawa pulang pada Jun nanti," katanya ketika Majlis Ramah Mesra NCER di sini pada Selasa.
Sebelum ini, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Pulau Pinang menuntut penjelasan kerajaan negeri berhubung kelewatan beberapa projek di negeri ini yang melibatkan warisan budaya dan pembangunan infrastruktur.
Pengerusinya, Andika Putera berkata, kelewatan tiga projek penting terbabit mencerminkan kelemahan dalam perancangan dan keutamaan pentadbiran negeri.
Beliau berkata, antara yang menjadi tumpuan ialah Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah yang pembinaannya telah mencapai 94 peratus pada April 2024
Mengulas lanjut, Mohamad Haris berkata, pelancaran rasmi Pusat Arkeologi Guar Kepah dijangka akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Bagaimanapun sekiranya terdapat perubahan mungkin pelancaran awal pusat arkeologi itu akan dibuat oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow," katanya.
Sebelum ini, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, CMI mewakili kerajaan negeri telah mengambil inisiatif dan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan Kementerian Luar Negari (KLN) bagi membawa pulang pecahan rangka manusia Guar Kepah yang mewakili 41 individu yang kini tersimpan rapi di CCNL.
Katanya, pihak Kerajaan Belanda melalui Kementerian Pendidikan, Budaya dan Sains Belanda telah bersetuju memulangkan rangka-rangka tersebut kepada Kerajaan Malaysia dengan mengambil kira kepentingan objek warisan tersebut kepada Malaysia khususnya Pulau Pinang.
Pembinaan Pusat Arkeologi Guar Kepah bertujuan untuk mempamerkan kesemua artifak dan rangka Guar Kepah serta memartabatkan warisan sejarah darah SPU Pulau Pinang.
Pembangunan Pusat Arkeologi Guar Kepah dua tingkat dengan konsep archaeo-edu-tourism ini merangkumi komponen seperti ruang pameran interaktif, dewan seminar, tapak timbunan cengkerang, ruang pentadbiran serta kemudahan pengunjung seperti surau dan tandas.
Jumpaan yang paling signifikan di tapak arkeologi Guar Kepah ini ialah rangka manusia Guar Kepah yang dikenali sebagai Penang Women (GK2017) pada 2017 berusia lebih daripada 5,000 tahun yang akan menjadi bahan pameran utama di pusat ini.
Selain itu, sebanyak 42 rangka manusia ditemui di Guar Kepah yang dijumpai semasa ekskavasi P.V van Stein Callenfels (1936) yang kini disimpan di Leiden, Belanda akan dibawa pulang dan akan dipamerkan di pusat arkeologi ini.
https://www.sinarharian.com.my/article/724411/edisi/utara/pusat-arkeologi-guar-kepah-dijangka-dibuka-julai-depan
|