Edited by sfhzuraz at 22-4-2025 05:56 PM
CAP desak KKM haramkan jualan vape, rokok elektronik
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
22 April 2025 12:55pm

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sekali lagi menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya melaksanakan larangan sepenuhnya terhadap penjualan vape dan rokok elektronik yang membawa pelbagai isu sosial dalam kalangan pelajar.
GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sekali lagi menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya melaksanakan larangan sepenuhnya terhadap penjualan vape dan rokok elektronik yang membawa pelbagai isu sosial dalam kalangan pelajar.
Gesaan ini susulan kejadian pada Isnin membabitkan seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di kawasan pinggir Kangar dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah selepas disyaki mengalami sawan berpunca daripada penggunaan vape.
Siasatan awal mendapati pelajar tersebut telah menghisap vape bersama rakan-rakannya di tandas sekolah.
Namun begitu, jenis peranti vape yang digunakan masih belum dikenal pasti oleh pihak perubatan.
Pegawai Kanan Pendidikan CAP yang juga aktivis antimerokok, NV Subbarow turut menggesa kementerian agar mengambil serius kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung isu vape.
Menurutnya, Ayob Khan sebelum ini berkata bahawa kerajaan negeri boleh mengambil tindakan untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape, yang kini dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah sintetik.
"Keadaan ini semakin membimbangkan apabila pelajar sekolah seawal usia 13 tahun dikesan menggunakan vape yang mengandungi bahan berkaitan dadah. Jika tidak dikawal, ia boleh menjadi ancaman baharu di negara ini.
"Pemerhatian CAP juga mendapati ramai golongan muda terjebak dalam penggunaan rokok elektronik dan HTP (produk tembakau yang dipanaskan) sehingga mereka secara tidak sedar menjadi ketagih," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau lagi, cecair yang digunakan dalam peranti tersebut mengandungi pelbagai bahan kimia berbahaya seperti nikotin, gliserin, glikol dan propilena.
"Bahan kimia ini boleh menyebabkan penyakit pernafasan, kanser paru-paru dan kerosakan jantung. Oleh itu, CAP memohon kerajaan mengambil tindakan tegas.
"Kami juga menggesa para pendidik, ibu bapa, penjaga dan masyarakat untuk terus mendidik anak-anak tentang bahaya penggunaan vape," ujarnya.
Beliau menambah, kementerian tidak seharusnya bersikap tunggu dan lihat terhadap isu pelajar yang menggunakan vape.
"Jangan pertaruhkan nyawa pelajar. Semakin lama kita berlengah dalam melaksanakan larangan sepenuhnya terhadap produk ini, semakin banyak insiden kecederaan akibat vape akan berlaku di sekolah, seperti yang berlaku di Kangar semalam," katanya.
Mengulas lanjut, Subbarow berkata, rokok elektronik juga berisiko untuk mengalami kebocoran dan meletup, yang boleh menyebabkan melecur teruk.
"Dalam program ceramah CAP mengenai bahaya vape, rokok elektronik dan merokok sebelum ini, didapati ramai pelajar telah menjadi ketagih terhadap budaya ini.
"CAP kini turut menjalankan sesi kaunseling untuk pelajar yang mengaku ketagih, bagi memberi kesedaran mengenai bahaya budaya penggunaan vape," jelasnya.
Tambah beliau, walaupun pelajar dilarang membawa barangan tersebut ke sekolah, mereka tetap melakukannya dengan pelbagai taktik.
“Tinjauan CAP mendapati ramai pelajar menggunakan tandas sebagai tempat untuk merokok dan menghisap vape, sama yang berlaku semalam.
“Dalam satu lagi kejadian pada Mac tahun lalu, seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah di daerah Kangar cedera di kaki selepas terjatuh dari bumbung tingkat satu bangunan sekolah.
"Kejadian itu dipercayai berlaku kerana pelajar tersebut mengalami halusinasi selepas menghisap vape yang dibawa ke sekolah," katanya.
Subbarow berkata, tiada gunanya menghukum pelajar yang menghisap vape di sekolah sebaliknya kerajaan perlu melaksanakan pengharaman sepenuhnya produk tersebut.
"Jika tiada penjualan, maka tiada masalah akan timbul.
"Ramai guru mengakui kepada CAP bahawa penggunaan vape memberi kesan besar terhadap tingkah laku pelajar dan mengganggu suasana pembelajaran," katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/724365/berita/nasional/cap-desak-kkm-haramkan-jualan-vape-rokok-elektronik
|