
Suspek ditangkap anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Samarahan hari ini.- Gambar IPD Kota Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki yang memiliki 12 rekod jenayah lampau, termasuk kes dadah dan kes curi diberkas apabila disyaki terlibat kes curi tong gas di restoran sebuah universiti, di sini pada 4 April lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Superintenden Damataries Lautin berkata suspek, 36, ditangkap Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan di sebuah rumah di Taman Uni Vista, di sini sekitar jam 11.30 pagi tadi.
Menurutnya, turut dirampas daripada suspek adalah sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Siasatan awal dipercayai suspek pada 3 April iaitu sekitar jam 11 malam bersama seorang rakannya telah pergi ke restoran tersebut dan mencuri beberapa tong gas dengan memasukkannya ke dalam kereta.
“Suspek kemudian dikatakan menyembunyi tong gas tersebut bertindak menjualnya di sebuah kedai di Bandar Baru Kota Samarahan dengan harga RM600,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, suspek turut berkongsi RM150 kepada rakannya sejenayahnya.
“Pasukan operasi kini masih giat mengesan rakan sejenayah suspek yang juga telah dikenal pasti,” katanya.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan dan suspek juga telah dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Samarahan untuk tindakan selanjutnya.
“Semasa disoal siasat, suspek mengaku ada mengambil dadah jenis methamphetamine pada malam sebelum ditangkap,” katanya.
|