Sarawak kini hanya mengalami kekurangan satu guru bagi setiap sekolah hasil inisiatif tersebut

(Dua dari kiri) Ahmad Johnie, Dr Annuar, Safiee dan yang lain merakam gambar kenangan pada Majlis Raikan Lebaran Bersama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat di Dewan Masyarakat Daro hari ini.
DARO: Sarawak pada masa ini hanya mengalami kekurangan satu guru bagi setiap sekolah hasil inisiatif khas Kerajaan Sarawak dan persekutuan menerusi pengambilan guru secara khas untuk negeri ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, jumlah kekurangan guru yang sebelum ini mencecah antara 2,000 hingga 3,000 orang kini telah dikurangkan secara signifikan.
“Disebabkan pengambilan khas guru untuk Sarawak, kita banyak dapat menyelesaikan (masalah kekurangan guru).
“Sehingga kini, setiap sekolah hanya kurang satu guru kerana kita kekurangan 1,000 guru di Sarawak masa ini.
“Sekolah di Sarawak ada 1,000 lebih, maksudnya setiap sekolah ada lagi kekurangan (guru). Kalau kurang pun sekurang-kurangnya hanya seorang guru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Raikan Lebaran Bersama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) di Dewan Masyarakat Daro di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu memberi jaminan bahawa inisiatif tersebut akan terus dilaksanakan pada masa akan datang supaya isu kekurangan guru di Sarawak dapat diatasi sepenuhnya.
Selain kekurangan guru, Dr Annuar turut memaklumkan bahawa isu pelantikan guru besar dan pengetua yang tertangguh juga sedang ditangani dengan serius.
Pada masa lalu katanya, banyak sekolah di Sarawak menghadapi masalah kekurangan guru besar dan pengetua.
Jelasnya, proses pelantikan yang terlalu lambat, kerana perlu melalui ibu pejabat di Kuala Lumpur, menyebabkan jawatan penting itu terbiar kosong untuk tempoh yang lama.
“Terdapat kes di mana seseorang hanya menerima pelantikan sebagai pengetua selepas enam bulan atau setahun namun tidak lama selepas itu, mereka ditukarkan semula ke Semenanjung.
“Susulan itu, isu berkenaan telah dibangkitkan oleh wakil rakyat di Dewan Rakyat. Beliau menegaskan bahawa jawatan ketua sekolah tidak seharusnya diisi secara sementara, kerana individu tersebut perlu berada di lokasi untuk jangka masa panjang demi merangka pembangunan pendidikan anak-anak di Sarawak.
“Salah seorang Ahli Parlimen yang sering mengutarakan isu pendidikan di Dewan Rakyat ialah tak lain YB (Yang Berhormat) Igan (Ahmad Johnie Zawawi).
“Alhamdulillah saya diberitahu oleh YB tadi, dah hampir selesai - cerita kekurangan guru besar dan pengetua sekolah (di kawasan Igan),” katanya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad.
|