CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 101|Reply: 0

[Kedah] Hutang belum lunas, Sufi kembali jual daging salai

[Copy link]
Post time 16-4-2025 02:29 PM | Show all posts |Read mode
Hutang belum lunas, Sufi kembali jual daging salai

Oleh Noorazura Abdul Rahman - April 16, 2025 @ 1:01pm




Muhammad Sufi bersama ibunya.



JITRA: Masih ada hutang belum lunas menyebabkan Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, yang hilang separuh tempurung kepalanya akibat kemalangan, terpaksa kembali menjual daging salai dalam masa terdekat.

Kakitangan fisioterapi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar itu berkata beliau perlu melunaskan bayaran sebanyak RM4,680 kepada jururawat peribadi yang menjaganya selama tiga minggu di hospital berkenaan selepas menjalani pembedahan memasang implan tempurung kepala pada 25 Februari lalu.

"Ketika dirawat di HSB, ibu tidak mampu menjaga saya, jadi kami mengupah jururawat peribadi yang bayarannya belum lunas sepenuhnya. Selain itu, saya juga perlu menjelaskan bayaran pinjaman rumah RM1,300 dan pinjaman peribadi RM500 setiap sebulan.

"Saya kini hanya dibayar separuh gaji (RM1,500 sebulan) kerana mengambil cuti sakit lebih setahun. Oleh itu, saya berharap dapat bekerja semula dengan segera selepas ini.

"Keadaan saya semakin pulih. Saya merancang untuk kembali menjual daging salai selepas raya nanti. Diharapkan masih ada yang sudi menyokong perniagaan saya," katanya.

Muhammad Sufi memaklumkan, beliau juga menyambut ketibaan Aidilfitri kali ini dengan ala kadar, malah hanya memakai baju raya lama yang masih elok.

Katanya, beliau memilih menyambut lebaran bersama ibu, Noraini Ishak, 71, di rumah keluarga secara sederhana kerana memikirkan masih banyak hutang yang perlu diselesaikan.

Selain itu, katanya, beliau hanya berkunjung ke rumah sanak-saudara dan rakan berdekatan kawasan rumahnya di Taman Jitra Indah, di sini.

"Saya tidak dibenarkan memandu, jadi ibu yang membawa saya. Sebagai anak bongsu, saya ada 12 anak saudara... rumah memang meriah dengan kehadiran mereka.

"Saya juga ada tiga beradik lain yang semuanya balik menyambut Aidilfitri kali ini di Kedah. Kami sempat berkunjung ke rumah saudara-mara berdekatan," katanya.

Mengenai pembedahan memasang implan tempurung kepala yang dijalaninya pula, Muhammad Sufi berkata, beliau gembira kerana keadaan fizikalnya terutama di bahagian kepala, kembali kelihatan normal.

"Sebelum ini, ada orang takut tengok keadaan kepala saya, namun sekarang semuanya sudah kembali normal selepas pembedahan memasang implan tempurung kepala itu berjaya.

"Saya juga sudah boleh makan apa saja dan tidak perlu lagi berpantang. Percakapan saya juga semakin jelas dan tidak lambat seperti sebelum pembedahan," katanya.

Pada Februari lalu, media melaporkan nasib menimpa Muhammad Sufi mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM15,000.

Selain itu, Berita Harian (BH) turut tampil membantu Muhammad Sufi menerusi program #BHNakTanya - Wadah Satu Hati yang menjadi antara pengisian tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Mitraland untuk memberi sokongan kepada individu yang menghadapi cabaran hidup, Mac lalu.

Sebelum itu, Muhammad Sufi memuat naik kandungan menjual daging salai melalui TikTok bertujuan mencari dana untuk menjalani pembedahan memasang implan tempurung kepalanya.

Beliau pernah koma selama lebih sebulan dan kehilangan separuh tempurung kepala setelah terbabit kemalangan di Tanah Merah, dua tahun lalu.

Pembedahan memasang implan tempurung kepala Muhammad Sufi pada asalnya dijadualkan 9 Mac, namun prosedur itu dipercepatkan kepada 25 Februari lalu.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/04/1385147/hutang-belum-lunas-sufi-kembali-jual-daging-salai





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-5-2025 02:50 AM GMT+8 , Processed in 0.033991 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list