
Dadah-dadah yang dibungkus bersama produk makanan berjaya dirampas pihak JKDM Sarawak hasil serbuan di sebuah syarikat perkhidmatan kurier di sini bulan lalu.
MIRI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menumpaskan dua cubaan menyeludup masuk dadah ke Miri menerusi perkhidmatan kurier udara hasil serbuan di sebuah syarikat kurier di sini bulan lalu.
Pengarah JKDM Sarawak, Norizan Yahya berkata dalam serbuan itu, pihaknya berjaya merampas dua kotak bungkusan mengandungi dadah berbahaya jenis ekstasi dan ketamin dengan berat keseluruhan lebih lapan kilogram dan dianggarkan bernilai RM1.2 juta.
Jelasnya, sekitar jam 2 petang, 14 Mac lalu, sepasukan pegawai kastam dari Cawangan Narkotik JKDM Sarawak telah melakukan serbuan ke sebuah syarikat perkhidmatan kurier di kawasan Eastwood Valley Industrial Park, Jalan Miri-Bypass di sini.
"Dalam serbuan itu, kita telah merampas satu kotak kiriman kurier yang mengandungi dadah jenis ekstasi seberat 3,613 gram bernilai RM603,371 dan ketamin seberat 1,012 gram bernilai RM50,600.
"Selain itu, kita turut merampas satu lagi kotak bungkusan kiriman kurier mengandungi dadah ekstasi seberat 3,459 gram bernilai RM577,653 di lokasi yang sama.

Dadah-dadah yang dibungkus bersama produk makanan berjaya dirampas pihak JKDM Sarawak hasil serbuan di sebuah syarikat perkhidmatan kurier di sini bulan lalu.
" Ekstasi dan ketamin merupakan dadah berbahaya yang disenaraikan di bawah Bahagian III Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu kata beliau, kes disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B ADB 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, boleh disebat tidak kurang dari 15 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu menurut Norizan, modus operandi sindiket pengedaran dadah ini adalah menggunakan perkhidmatan kurier udara dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak dengan menghantar bungkusan ke alamat yang tidak berpenghuni.
"Dadah-dadah yang cuba diseludup masuk ke sini telah dihantar menggunakan kiriman kurier dan dibungkus bersama dengan produk makanan," katanya sambil memberitahu nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM1,231,624.
Justeru, JKDM menyeru kerjasama orang awam untuk membantu membanteras jenayah penyeludupan dengan menyalurkan maklumat kepada Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam berdekatan dan identiti pemberi maklumat dijamin dirahsiakan.
|