
Gambar hiasan
KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut berhasrat untuk menjadi perintis kepada pengenalan kenderaan elektrik (EV) motosikal bagi kegunaan harian sebagai galakan kepada kelestarian alam sekitar.
Demikian kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni sambil menambah, inisiatif tersebut masih di peringkat perbincangan.
“Kita sedang mencari jenama bersesuaian yang mana akan kita perkenalkan terlebih dahulu kepada mereka yang berumur 16 tahun, 17 tahun kerana mereka dibenarkan untuk memiliki lesen motosikal.
“Ini sebagai salah satu langkah memupuk kesedaran untuk menjaga alam sekitar.
“Dan kita akan mendapatkan bantuan atau subsidi motivasi walaupun dalam jumlah yang kecil.
“Kerajaan Persekutuan juga menyediakan sekitar RM2,400 sebagai subsidi untuk mereka yang membeli EV motosikal ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Program Ramah-Tamah Aidilfitri dan Sidang Media Pelancaran Sarawak International Bike Gathering (SIBG) Ke-2 2025 di sini, hari ini.
Dr Hazland berkata, Sarawak sudah mempunyai sebuah syarikat tempatan yang bekerjasama dengan China untuk memasang EV basikal dan EV motosikal di Demak Laut.
Beliau turut menjelaskan kebimbangan mengenai penggunaan bateri, seperti ketoksikan litium, pelupusan dan sebagainya.
“Jika kita mempunyai sistem yang betul, ia tidak menjadi masalah,” tegas beliau yang juga Penasihat Borneo Island Big Bikers (BIBB) Sarawak.
Selain itu, beliau turut merancang memperkenalkan EV motosikal yang mempunyai had kelajuan 100km sejam itu kepada pihak pihak berkuasa tempatan di DUN Demak Laut serta kenderaan perkhidmatan e-hailing di sini.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Presiden BIBB Sarawak Ramlee Tuah.
|