
KUCHING: Semua pihak harus akur dan menghormati keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan berkenaan penyelarasan pencen Senator dan Ahli Parlimen yang bersara.
Senator Pele Peter Tinggom berkata, ia kerana keputusan Mahkamah Persekutuan itu dibuat setelah berpandukan Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 132 dan
147 iaitu sama ada Ahli Parlimen ditakrifkan sebagai penjawat awam dan dilindungi.
Tambahnya, Mahkamah Persekutuan juga merujuk kepada seksyen 20 Akta Ahli
Parlimen (Saraan) 1980 yang dipinda pada 2014 dan berkuat kuasa pada 1 Januari 2015.
“Dari aspek perundangan, keputusan Mahkamah Persekutuan sudah jelas dan kita semua harus akur dan menghormati keputusan yang dibuat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan baru-baru ini bahawa Senator dan Ahli Parlimen yang bersara tidak mempunyai hak untuk menikmati kenaikan pencen apabila semakan gaji dibuat.
Ketika membenarkan rayuan kerajaan, panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Hasnah Hashim, berkata hak untuk semakan tersebut hanyalah satu hak bersyarat atau hak pada masa depan dan masih belum diperoleh.
Menurut Pele, daripada aspek kehendak sosial dan kebajikan, apa-apa polisi dan peruntukan undang-undang berkenaan pencen dan persaraan seharusnya selari dan berpandukan tujuan yang sama serta kebajikan yang sama kepada semua pesara.
Katanya walaupun skop kerja dan tanggungjawab penjawat awam dan Ahli Parlimen adalah berbeza, tetapi jasa dan bakti menjalankan tanggungjawab mereka adalah sama iaitu untuk rakyat dan negara.
“Bukan semua pesara Ahli Parlimen ada perniagaan atau sumber kewangan lain.
“Dengan inflasi dan kos sara hidup yang meningkat dari tahun ke tahun, kesannya akan dirasai oleh pesara Ahli Parlimen.
“Ini memandangkan secara kasar, kenaikan kos sara hidup setahun adalah lebih 2 peratus daripada jumlah penyelarasan yang diberikan sebanyak 2 peratus setahun,” katanya.
Pele juga berkata walaupun Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 boleh dipinda bagi membuat pelarasan polisi pengiraan selari dengan penjawat awam atau lebih baik daripada itu, beliau percaya kerajaan akan mengambil kira keperluan untuk
memulihkan ekonomi negara yang mempunyai hutang yang sangat besar jumlahnya terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat.
“Ini diperitkan lagi dengan dasar luar Amerika Syarikat mengenakan 24 peratus tarif ke atas sebahagian besar produk Malaysia yang memasuki negara tersebut.
“Impak daripada tarif ini sangat besar kepada ekonomi Malaysia memandang Amerika Syarikat ialah rakan perdagangan ketiga terbesar selepas China dan Singapura
dengan eksport Malaysia ke Amerika Syarikat pada tahun 2023 berjumlah RM161.3 bilion.
“Kerajaan pasti mengambil kira semua aspek untuk memulihkan ekonomi negara sebelum membuat keputusan seterusnya,” katanya.
|