
Orang ramai yang mengetahui keberadaan Trasi diminta salurkan maklumat.
PADAWAN: Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Kampung Maang, Batu 24 Jalan Kuching-Serian, sejak malam 7 April lalu.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi dalam kenyataan berkata, usaha mengesan remaja berkenaan giat dijalankan.
“Mangsa dikenali sebagai Trasi Eklisia McDavvonnick Erick, berusia 13 tahun lima bulan dan berketurunan Bidayuh, dilaporkan keluar dari kediamannya sekitar jam 9 malam dan sehingga kini belum pulang.
“Trasi tidak mempunyai kenderaan dan lokasi terakhir dia dilihat berhampiran kawasan rumahnya. Setakat ini, belum ada petunjuk jelas keberadaannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat kehilangan itu, segera menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan, ASP Sylvarius Gopog di talian 013-8637241; Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Sulaiman Taha di talian 012-8908262 atau Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233, katanya.
|