CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 212|Reply: 1

[Pulau Pinang] 'Bilal cilik' masjid buta mata tapi celik hati

[Copy link]
Post time 30-3-2025 06:12 PM | Show all posts |Read mode
'Bilal cilik' masjid buta mata tapi celik hati

BERNAMA




PENGLIHATANNYA mungkin tidak sesempurna orang lain, namun itu tidak menghalang Muhammad Hafizuddin menghafal pelbagai surah sejak berusia empat tahun hingga kini diberi kepercayaan menjadi bilal cilik Masjid at-Taqwa, Taman Tun Sardon di Gelugor. FOTO Bernama



Georgetown: Penglihatannya mungkin tidak sesempurna orang lain, namun itu tidak menghalang Muhammad Hafizuddin Muhammad Amirul Hakim Linges, 10, menghafal pelbagai surah sejak berusia empat tahun hingga kini diberi kepercayaan menjadi bilal cilik Masjid at-Taqwa, Taman Tun Sardon di Gelugor.

Muhammad Hafizuddin mula menghafal surah Yasin ketika berusia empat tahun dan pada usia enam tahun mampu menghafal keseluruhan surah itu seterusnya surah lain seperti al-Mulk, al-Kahfi, ar-Rahman, as-Sajdah, juz Amma dan surah al-Baqarah ayat 1 hingga 101.

Meskipun masih kecil, keperibadian kanak-kanak itu tidak menggambarkan usianya yang dilihat lebih matang malah mempunyai lantunan suara yang lunak terutama ketika mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran dan melaungkan azan.

Ibunya Wan Dalila Diyana Wan Mustoffa, 42, berkata, Muhammad Hafizuddin dikesan menghidap barah mata ketika usianya empat bulan hingga menyebabkan dia hilang penglihatan pada mata kiri manakala mata kanannya pula kurang jelas.

Wan Dalila Diyana yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan berkata anaknya yang kini pulih daripada penyakitnya seringkali mengajaknya untuk bersolat setiap hari sejak berusia setahun apabila mendengar laungan azan dari masjid berhampiran rumah mereka.

"Dia memang aktif di masjid malah sejak umur tiga tahun lagi datuknya telah bawa dia ke sana dan boleh kata masjid itu ibarat rumah keduanya sebab kebanyakan masanya memang dihabiskan di sana.

"Dia juga minat berzikir, berselawat dan banyak masuk kelas hafazan. Kelebihan Muhammad Hafizuddin, dia ikut bacaan imam kemudian dia hafal sendiri dan saya pula cuma asuh, perbetulkan (bacaan). Di sekolah dari usia enam tahun cikgu sudah nampak potensinya dan beri kepercayaan kepadanya ketuai bacaan doa, tahlil," katanya kepada Bernama baru-baru ini.


KEHILANGAN penglihatan tidak menghalang Muhammad Hafizuddin untuk cemerlang dalam hafalan al-Quran dan menjadi bilal cilik di Masjid at-Taqwa, Gelugor. FOTO Bernama


Sementara itu, Muhammad Hafizuddin yang kematian bapa akibat barah otak ketika tujuh bulan di dalam kandungan berkata sejak kecik dia gemar mendengar bacaan imam ketika solat dan bercita-cita menjadi imam atau bilal selain berhasrat memasuki sekolah tahfiz.

"Saya bersyukur dan seronok dapat jadi bilal di sini. Insya-Allah suatu hari nanti saya nak jadi imam atau bilal. Saya juga sasar pada usia 12 tahun, nak hafal sekurang-kurangnya separuh daripada al-Quran sebelum masuk ke tahfiz.

"Untuk hafalan, mula-mula saya akan baca ayat sama tujuh kali kemudian tutup al-Quran dan ulang sebanyak tiga kali," kata murid Madrasah Uthmaniah (ABIM) Sungai Ara itu sambil memberitahu dia akan bangun seawal lima pagi dan mengulangi hafalan sebelum solat subuh seterusnya membaca al-Quran dan ke sekolah.

Bendahari Masjid at-Taqwa Abdul Aziz Md Noohu berkata, pihak masjid bercadang mengangkat Muhammad Hafizuddin sebagai ikon belia supaya dapat dijadikan contoh kepada anak-anak muda lain untuk mengimarah serta mendekatkan diri dengan masjid.

Mereka juga berbangga dengan pencapaian Muhammad Hafizuddin dan sumbangannya kepada masjid biarpun usianya baru 10 tahun.

"Kita memang banyak buat program untuk cungkil bakat anak muda kariah di sini untuk jadi pelapis bilal dan imam. Macam Muhammad, dari kecil kita nampak dia dah tunjuk bakat dan kelebihan selain aktif menyertai program yang dianjurkan seperti hafazan al-Quran, kem solat.

"Sebelum ini kita bagi peluang kepada dia untuk laung azan dan pada Ramadan ini dia dijemput jadi bilal tarawih untuk awal 15 puasa," katanya.



Disiarkan pada: Mac 30, 2025 @ 5:45pm

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/03/1202726/bilal-cilik-masjid-buta-mata-tapi-celik-hati




Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 30-3-2025 06:51 PM | Show all posts
Wan Dalila Diyana yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan berkata anaknya yang kini pulih daripada penyakitnya seringkali mengajaknya untuk bersolat setiap hari sejak berusia setahun apabila mendengar laungan azan dari masjid berhampiran rumah mereka.
-Beruntung anda dapat zuriat yang baik begini.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-5-2025 07:59 PM GMT+8 , Processed in 0.060561 second(s), 19 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list