Bukit Mertajam: "Kalau arwah isteri masih ada, sudah tentu pada waktu ini dia paling sibuk buat persiapan raya untuk keluarga.
"Memang rindu, namun hanya doa sahaja yang mampu dititipkan buat arwah," kata Mohd Shazwan Hafizi Badrul Kamal, 31.
Persiapan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bagi keluarga Mohd Shazwan dilakukan secara sederhana selepas kematian isteri, Siti Zulaila, 30, pada November tahun lalu.
Mohd Shazwan berkata, sebelum kejadian, pasangan itu merancang bagi beraya di rumah ibunya di Berapit, sebelum pulang ke rumah mentua di Ayer Itam.
Namun perancangan itu tidak kesampaian apabila Siti Zulaila dan bapanya, Zulkifli Ibrahim, 62, ditemukan maut ditikam di hadapan lif pangsapuri di Ayer Itam.
Allahyarham Siti Zulaila meninggalkan tiga anak iaitu Siti Aisyah Azzalea, 12
Siti Ariana Adelia, 5, dan Mohd Adrian Harraz, 2 tahun.
"Sebelum kejadian, arwah kerap berpesan supaya menjaga tiga anak kami dengan baik jika dia sudah tiada dan tidak memisahkan mereka.
"Selain itu, arwah juga pernah meluahkan hasrat untuk bawa anak kami tinggal di rumah ibu saya kerana sebelum ini mereka dijaga di rumah mentua.
"Sekarang, jika saya bekerja di luar kawasan, semua anak akan dijaga mentua supaya mereka juga rapat dengan keluarga arwah isteri.
"Mana mungkin saya lupa kejadian berkenaan, setiap kali pergi ke rumah mentua, saya akan naiki lif di lokasi kejadian itu berlaku," katanya yang bekerja
sebagai pemandu lori.
Mohd Shazwan berkata, ibu mentuanya kini masih bersedih dengan kejadian itu namun hubungan mereka amat baik.
Katanya, dia pernah beberapa kali bermimpi bertemu dengan arwah isterinya dan ia menjadi pengubat rindu.
"Selepas kejadian, tingkah laku anak kedua, Siti Ariana Adelia paling ketara berubah, daripada seorang anak yang riang menjadi pendiam.
"Anak sulung, Siti Aisyah Azzalea pula banyak memendam perasaan manakala yang bongsu, kerap memanggil ibunya terutama apabila diserang sakit.
"Kehilangan orang yang tersayang memang menyedihkan, namun inilah yang perlu dilalui kami sekeluarga walaupun sudah reda," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Seorang pekerja pembersihan di sebuah kilang didakwa atas dua pertuduhan membunuh, 13 Novermber lalu.