Pulau Pinang rekod 3,446 kes HFMD dalam tempoh kurang tiga bulan
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Mac 28, 2025 @ 1:18pm bhnews@bh.com.my

Foto hiasan
GEORGETOWN: Pulau Pinang merekodkan 3,446 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dari 1 Januari hingga 22 Mac lalu, peningkatan sebanyak 2,769 kes atau 409 peratus berbanding 677 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen, berkata terkini sejumlah 422 kes HFMD baharu dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-12 (ME 12/2025) dari 16 Mac hingga 22 Mac lalu iaitu meningkat sebanyak 25 peratus atau 6.3 peratus berbanding minggu sebelumnya.
"Sebanyak 22 kluster baharu turut direkodkan pada minggu berkenaan bagaimanapun kesemua kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan diberikan rawatan sebagai pesakit luar.
"Tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.
Zi Sen berkata, Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 1,082 kes diikuti 700 kes di Seberang Perai Selatan (SPS) selain Timur Laut serta Barat Daya masing-masing 620 kes dan 416 kes.
Beliau berkata, sebanyak 81 kluster atau 72.3 peratus daripada keseluruhan 112 kluster penyakit HFMD yang dilaporkan di Pulau Pinang sepanjang tahun ini melibatkan premis pendidikan awal kanak-kanak seperti taska, tadika, tabika dan prasekolah.
Menurutnya, secara keseluruhan kes HFMD dalam tempoh tersebut berlaku di 30 buah sekolah rendah, prasekolah (8), taska (24), tadika (39), tabika (10) dan pusat jagaan (1).
Beliau menambah, berdasarkan survelan atau pemantauan enterovirus, virus utama yang menjadi punca penularan HFMD di negeri ini adalah Coxsackievirus A16 (CA16) yang merebak melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.
Katanya, majoriti jangkitan hanya menunjukkan gejala ringan seperti demam, diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah dengan hampir kesemua pesakit pulih tanpa memerlukan rawatan khusus dalam tempoh tujuh hingga 10 hari.
Dalam perkembangan sama, Daniel berkata, satu kes Enterovirus 71 (EV71) turut dikesan di Pulau Pinang pada tahun ini namun kes itu tidak melibatkan gejala serius atau memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Bagaimanapun harus diingat jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi serius seperti encephalitis (jangkitan otak), pneumonitis (jangkitan paru-paru) dan myocarditis (jangkitan otot jantung).
Sehubungan itu, Zi Sen menasihati orang ramai agar terus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan wabak.
"Jaga kebersihan diri, rumah persekitaran dan amalkan mencuci tangan dengan kerap menggunakan air serta sabun selain elak daripada menghantar anak-anak yang menunjukkan gejala HFMD ke sekolah atau pusat jagaan.
"Elakkan juga membawa anak-anak ke tempat awam atau kawasan sesak seperti kolam renang, pasar, pusat beli belah dan sebagainya sekiranya terdapat gejala atau tanda-tanda jangkitan HFMD," katanya.
Beliau turut menggesa pengusaha dan pihak pengurusan pusat jagaan serta pendidikan awal kanak-kanak menjalankan saringan di pintu masuk selain menyahkuman permukaan tercemar di premis masing-masing.
"Komitmen dan kerjasama semua pihak sangat diharapkan agakr penularan dan jangkitan HFMD di Pulau Pinang dapat dikawal dengan lebih berkesan dalam masa terdekat," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1378071/pulau-pinang-rekod-3446-kes-hfmd-dalam-tempoh-kurang-tiga-bulan
|