Georgetown: Polis Pulau Pinang menahan dua lelaki kerana disyaki terbabit dengan sindiket pengedaran dadah bernilai RM6.52 juta menerusi tiga serbuan di negeri ini.
Dalam serbuan itu polis merampas dadah jenis serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), heroin, syabu dan serbuk ketamin yang disyaki dibawa keluar ke Indonesia.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek berusia 20 dan 27 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar kawasan Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara antara 22 Mac hingga semalam.
Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 1,938 peket plastik pelbagai tulisan yang berisi serbuk MDMA dengan anggaran berat sebanyak 38,800, heroin (6,800 gram), syabu (946 gram) dan ketamin (50.4 gram).
"Risikan mendapati aktiviti sindiket yang disertai pemandu lori dan penganggur itu bergiat aktif sejak awal tahun ini.
"Keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 100,000 penagih," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.
Hamzah berkata, suspek mendakwa menerima upah sebanyak RM3,000 bagi setiap penghantaran dan bekalan dadah diperoleh dari satu lokasi, sebelum dibungkus semula dan dihantar ke Indonesia menerusi laluan laut.
"Ujian saringan air kencing didapati kedua-dua suspek negatif daripada pengambilan dadah serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 29 Mac ini bagi tujuan siasatan," katanya.
Menurutnya, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya Pelucuthakan Harta 1988 yang mana Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang sedang giat mengesan harta serta kewangan bagi tujuan sitaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.