Edited by sfhzuraz at 23-3-2025 07:18 PM
Jakim perkenal kursus pasca perkahwinan, perkukuh institusi rumah tangga
ROSLINDA HASHIM
23 Mac 2025 04:19pm

Zulkifli (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan Ramadan kepada peserta program ‘Wanita Darulaman Bertadabbur’ di Jitra.
JITRA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa menyemak dan menambah baik modul serta silibus kursus perkahwinan bagi memastikan ia relevan dengan keperluan semasa.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, bagi memastikan kerukunan serta menangani keganasan rumah tangga, Jakim memperkenalkan kursus pasca perkahwinan.
Menurutnya, kursus berkenaan sebagai alternatif dalam mengukuhkan semula perkahwinan dan tidak diwajibkan kepada pasangan suami isteri.
“Kita bukan sahaja sediakan kursus pra perkahwinan, kini ada kursus pasca perkahwinan. Kita melihat ada keperluan untuk tambah baik apa yang kita lakukan supaya dapat memberikan bimbingan dan kefahaman dalam menguruskan keluarga atau isu-isu berbangkit,” katanya ketika hadir program ‘Wanita Darulaman Bertadabbur’ di Pusat Pendidikan Al-Azhar, dekat sini pada Ahad.
Zulkifli berkata, pemantapan institusi rumah tangga yang sudah dibina itu dilengkapi ilmu dan kemahiran serta pelbagai pengetahuan lain seperti kesihatan, psikologi, pendidikan agama dan sebagainya.
“Kursus ini sudah mendapat sambutan menggalakkan dan diharap dapat memberi impak yang baik kepada sesebuah keluarga, cuma ia belum dilaksanakan sepenuhnya lagi,” katanya.
Jelasnya, usaha pemerkasaan itu melibatkan kajian dan semakan oleh pakar pendidikan, kesihatan, serta pelbagai bidang lain bagi memastikan modul yang digunakan memberi manfaat menyeluruh.
“Jakim sentiasa menyemak dari masa ke semasa untuk menambah baik semua modul dan silibus kursus perkahwinan. Kita masukkan elemen-elemen yang diperlukan, dan ia diteliti oleh pakar-pakar berkaitan.
“Kursus pasca-perkahwinan diwujudkan bertujuan memberikan bimbingan dan pendekatan kepada pasangan yang telah berkahwin menguruskan keluarga serta menangani isu-isu rumah tangga secara lebih berkesan,” ujarnya.
Tambah beliau, walaupun kursus pasca perkahwinan belum diwajibkan sepenuhnya, ia mendapat sambutan sangat baik kalangan pasangan suami isteri yang ingin memperkukuhkan institusi perkahwinan mereka.
“Kami harap inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan lebih meluas bagi memastikan kesejahteraan keluarga dan keharmonian rumah tangga terpelihara,” katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/719249/berita/nasional/jakim-perkenal-kursus-pasca-perkahwinan-perkukuh-institusi-rumah-tangga
|