LEE Ting Han (kanan) dan Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo (tengah) sesi Walkabout PJR Salam Ramadhan 2025 di Kampung Sungai Tiram, di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Johor Bahru: Kerajaan Johor melarang sebarang pengimportan dan memproses bahan buangan atau sisa elektrik dan elektronik (e-waste) membabitkan pelabur di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, ini kerana tiada kebenaran dalam pengeluaran lesen kepada aktiviti memproses bahan buangan itu.
Menurutnya, kerajaan pusat turut mempunyai polisi yang jelas tidak membenarkan pengimportan e-waste ke dalam negara.
"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat pemantauan dan penguatkuasaan.
"Sekiranya ada mana-mana syarikat khususnya di kawasan perindustrian yang memproses e-waste tanpa kelulusan, tindakan tegas akan diambil termasuk sitaan, saman serta didakwa ke mahkamah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan walkabout Program Jualan Rahmah (PJR) Salam Ramadan 2025 di Kampung Sungai Tiram, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo.
Ting Han berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima laporan berkaitan aktiviti memproses e-waste secara haram di negeri ini.
"Bagaimanapun, kilang yang memproses e-waste di negeri ini hanya memproses hasil sisa buangan yang dihasilkan industri domestik sahaja.
"Apa yang penting, kita tak import e-waste. Operasi kilang sisa buang industri domestik ini kena ada, kalau tidak, kita pula jadi pengeksport e-waste ke negara lain," katanya.
|