HANIS (tengah) diambil sebagai anak angkat keluarga Sharisa Haris sejak lima tahun lalu. FOTO ihsan Sharisa Haris
Tampin: "Alhamdulillah, rezeki kami sentiasa ada, tidak putus dan banyak urusan dipermudahkan,".
Ujar Sharisa Haris Chong, 36, yang juga pemilik restoran Mama Nor ketika menceritakan kisah keluarganya yang mengambil anak yatim dikenali Hanis, 16, lima tahun lalu.
Sharisa berkata, Hanis dijadikan anak angkat oleh keluarganya selepas kematian bapa remaja terbabit.
"Kami mengenali Hanis pada 2021 apabila restoran kami mengadakan majlis bacaan Yasin setiap Jumaat minggu pertama pada awal bulan.
"Hanis adalah salah seorang pelajar yang tidak pernah ketinggalan turut serta dalam setiap majlis dianjurkan.
"Bila dapat tahu bapanya sudah tiada, babah (bapa) ambil keputusan jadikannya anak angkat ," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Sharisa, Hanis kini menyambung pengajian di Miftahul Ulum, Seri Petaling, Kuala Lumpur yang mana tempoh pengajiannya adalah lapan tahun. Katanya, yuran pengajian Hanis dibiayai sepenuhnya oleh keluarganya.
"Walaupun Hanis tak tinggal bersama kerana menyambung pengajian di madrasah, kami sekeluarga tetap berhubung dan ambil tahu mengenainya.
"Kehadirannya bukan hanya menyerikan keluarga kami tetapi turut membuka pintu rezeki. Bagi saya, itulah kelebihan apabila kita yakin Allah SWT akan menambah rezeki apabila kita bantu mempermudahkan anak yatim yang juga hafiz al-Quran," katanya.
"Bagi saya, ia peluang yang Allah SWT beri untuk kami sekeluarga berkongsi rezeki dan sedar dalam rezeki saya, ada bahagian orang lain.
"Saya harap ramai lagi di luar sana yang tidak lupakan atau sisihkan anak yatim atau yang tak bernasib baik walaupun tidak ambil sebagai anak angkat sekalipun," katanya yang mempunyai seorang anak angkat bernama Cahaya Anthallia, tujuh tahun.
|