KPDN Negeri Sembilan melakukan pemeriksaan harga kelapa dan santan di pasar utama seluruh Negeri Sembilan, semalam. FOTO ihsan KPDN
Seremban: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan mengesan kenaikan harga kelapa sehingga 47 peratus manakala santan pekat mencecah 23 peratus sejak November lalu.
Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata, pemeriksaan di pasar utama di negeri ini mendapati bekalan kelapa serta santan masih ada, tetapi terdapat kenaikan harga yang ketara.
"Peningkatan harga kelapa dan santan segar sekilogram (kg) bermula sejak November 2024 disebabkan kekurangan bekalan kelapa akibat perubahan cuaca dan musim yang tidak menentu mengurangkan pengeluaran, sementara permintaan yang tinggi sukar dipenuhi.
"Harga kelapa import dari Indonesia yang meningkat dan pengurangan pengeluaran kelapa tempatan menyebabkan stok pembekal berkurangan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Muhammad Zahir, permintaan yang tinggi sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan Thaipusam baru-baru ini juga memberi impak kepada harga di pasaran.
Selain itu katanya, faktor kos pengangkutan yang tinggi dan kos sampingan yang meningkat turut mempengaruhi harga jualan.
"Peniaga melaporkan bahawa kos bekalan kelapa dan santan yang semakin mahal mendorong mereka untuk menaikkan harga jualan," katanya.
Katanya, sejak November 2024 hingga Februari 2025, harga kelapa sebiji meningkat antara lapan hingga 47 peratus.
"Bagi harga kelapa parut satu kilogram kenaikan antara 13 hingga 16 peratus manakala harga bagi santan kelapa segar pekat satu kilogram meningkat di antara lapan hingga 23 peratus.
"Kenaikan harga ini memberi kesan kepada harga barang itu di pasaran," katanya.
|