"Kita buat intipan sebelum menahan dua individu, seorang lelaki dan seorang wanita bersama kereta yang diubah suai itu sebelum menjumpai dadah berkenaan.
"Kemudian, kita menyerbu sebuah unit kediaman di kondominium terbabit yang dipercayai dijadikan kediaman mereka dan merampas lagi sejumlah dadah.
"Serbuan seterusnya dibuat di sebuah lagi kondominium yang jaraknya lima kilometer dari serbuan pertama dan kedua yang mana ia dijadikan stor penyimpanan dadah.
"Satu lagi serbuan adalah di sebuah rumah teres di Taman Setia Indah di sini yang jaraknya tujuh kilometer dari serbuan sebelumnya sebelum menahan seorang lelaki dengan sejumlah dadah," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Kumar berkata, semua kediaman yang digunakan sindiket itu disewa dan pihaknya sedang mengenal pasti penyewa premis itu.
Katanya, modus operandi sindiket yang dipercayai aktif sejak Januari lalu itu adalah dengan menjadikan premis berpagar dan berpengawal sebagai stor penyimpanan serta pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Dalam semua serbuan itu, Kumar berkata, pihaknya merampas 28,493 gram ketamin; 10,365 gram syabu; 4,975 gram ganja; 2,590 gram serbuk ekstasi; 15,750 biji pil erimin 5; 7,281 biji pil ekstasi dan 780 gram serbuk MDMD yang semuanya dianggarkan bernilai lebih RM3.19 juta.
"Semua dadah ini boleh digunakan seramai 234,871 penagih jika terlepas ke pasaran.
"Kita turut menyita wang tunai RM46,540 serta pelbagai jenis barang kemas," katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia 33 hingga 46 tahun yang juga rakan itu kini direman sehingga 27 Februari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif amphetamine dan methamphetamine, manakala semakan mendapati mereka mempunyai rekod lampau kes dadah dengan seorang daripadanya mempunyai rekod dikehendaki polis bersabit kes Seksyen 384 Kanun Keseksaan di Kluang.
"Bagi kumpulan ini, kita percaya suspek utamanya sudah ditahan, namun kita sedang mengesan saki-baki ahli lagi kerana kita percaya mereka mempunyai 'runner' yang akan mengedarkan dadah-dadah ini," katanya.