JASMIN dipenjara 10 bulan selepas mengaku larikan lori tangki kerana mahu balik kampung. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: "Saya larikan lori sebab nak balik Kuantan. Saya tiada kenderaan," kata seorang lelaki selepas Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, menjatuhi hukuman penjara 10 bulan selepas dia mengaku bersalah melarikan lori tangki muatan dedak, Selasa lalu.
Tertuduh, Mohd Jasmin Abdul Latif, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan curang menyimpan harta curi iaitu sebuah lori tangki milik lelaki berusia 36 tahun di Jalan Labis-Yong Peng, di sini, 9.45 pagi, 18 Februari lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun dan juga denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 42 tahun selepas mendapati lori tangki diparkir tepi Jalan Labis-Yong Peng hilang.
Polis kemudiannya mengesan kedudukan lori tangki itu di Sungai Rambai, Melaka, 10.50 pagi, hari sama.
Hasil pemeriksaan ke atas tertuduh ketika ditahan, dia didapati memiliki 13 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Malah, ujian urin dijalankan turut mendapati tertuduh positif methampethamine.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Siti Farha Garieb daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Disiarkan pada: Februari 21, 2025 sumber
|