LOKASI kejadian kemalangan maut melibatkan seorang remaja perempuan maut sejurus dirempuh lori sebaik turun dari bas di Jalan Kampung Melayu Raya Pekan Nanas, Pontian.
Pontian: Seorang remaja perempuan maut sejurus dirempuh lori sebaik turun dari bas dinaiki berhampiran Jalan Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas, di sini.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kemalangan berlaku jam 7.20 malam semalam membabitkan mangsa berusia 13 tahun.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa pelajar
terbabit turun dari bas dan berhenti di bahu kiri jalan.
"Namun mangsa dilanggar sebuah lori ketika mahu melintas jalan. Akibatnya mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Bagaimana pun pemandu lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, " katanya tadi.
Katanya, pihak polis menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.
"Saksi kejadian boleh menghubungi Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian atau Inspektor Tong Siew Fen di talian 010-2090396 untuk membantu siasatan," katanya.
Disiarkan pada: Februari 20, 2025
|