JIE Yie (dua kiri) menunjukkan slip yuran kepada bapanya, Lim Kim Fa selepas mendaftar di Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD). FOTO Mohd Khidir Zakaria
Port Dickson: Lim Jie Yie, tidak kekok apabila menjadi satu-satunya pelajar tunggal Tionghua yang mendaftar di Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD), di sini, semalam.
Jie Yie, 16, berasal dari Mahsan, Bahau, bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh bersama rakan barunya di kolej vokasional berkenaan seterusnya menggapai cita-cita mahu terbabit dalam bidang pelancongan.
"Saya akan mengambil kursus pelancongan dan akan menimba sebanyak mungkin ilmu bagi memastikan cita-cita saya tercapai.
"Saya juga gembira kerana dapat bersama-sama 283 pelajar yang mendaftar hari ini.
"Saya juga pasti dapat menyesuaikan diri untuk bergaul dengan rakan berbilang kaum di sini," katanya ditemui ketika mendaftar.
Bapanya, Lim Kim Fa, 46, berkata, dia gembira anaknya dapat menyambung pelajaran di kolej berkenaan.
"Harapan saya dia dapat menyesuaikan diri bercampur dengan rakan barunya. Pada masa sama, dia juga akan tinggal di asrama dan ini pasti pengalaman berharga buatnya," katanya yang juga kontraktor binaan.
Kursus Teknologi Automotif pula mencipta sejarah tersendiri apabila tiga pelajar perempuan mendaftar.
Nur Sufi Syafiyah Rozi, 16, Amirah Qahirah Mus Rohimie, 16, dan Anis Farischa Azhar, 16, sependapat memaklumkan yang mereka 'tidak gentar' untuk mengikuti kursus yang dikuasai pelajar lelaki.
Sementara itu, Pengarah KVPD Mohammad Shafie Hamir berkata, tahun ini, pelajar yang mendaftar turut membabitkan masyarakat Tionghua selain India.
"Kita mahu semua kaum belajar di kolej vokasional. Pada masa sama, kolej vokasional juga mampu memberi pendidikan terbaik serta berkualiti kepada pelajarnya," katanya.
|