ARUL Kumar (dua kanan) menyerahkan lesen bazar Ramadan kepada seorang peniaga di Ampangan. FOTO Ihsan Arul Kumar
Seremban: Tindakan sita akan diambil terhadap peniaga bazar Ramadan di Negeri Sembilan yang didapati menggunakan khidmat warga asing sebagai pekerja.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J Arul Kumar berkata, pemegang lesen terbabit juga akan disenarai hitam dan tidak dibenar lagi memohon menjaja di mana-mana bazar Ramadan di Negeri Sembilan.
Katanya, pihak berkuasa tempatan tidak akan teragak-agak untuk melakukan sitaan serta-merta andai syarat ditetapkan tidak dipatuhi.
"Kita tidak benarkan peniaga kaya yang menggajikan warga asing di bazar Ramadan, ia untuk peniaga kecil tempatan bagi menjana pendapatan tambahan sempena kehadiran Ramadan.
"Kita memberi amaran ini bukan sahaja kepada peniaga malah penganjur bazar Ramadan dan sekiranya pihak berkuasa mengesan kehadiran peniaga warga asing di mana-mana bazar Ramadan di negeri ini, tindakan akan dikenakan.
"Objektif utama bazar Ramadan adalah untuk memberi ruang kepada peniaga kecil mencari sumber pendapatan tambahan sepanjang Ramadan, bukannya untuk warga asing," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Arul Kumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Nilai berkata, bazar Ramadan adalah satu usaha bagi menjana pendapatan tambahan peniaga dan tidak harus dijadikan 'untung atas angin' dengan memberi sewaan kepada orang lain.
"Mereka yang memohon gerai di bazar Ramadan sahaja dibenarkan berniaga di lokasi yang sudah ditentukan," katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban Datuk Masri Razali berkata, pihaknya tidak akan beri muka terhadap peniaga bazar Ramadan yang didapati menjual petak kepada pihak ketiga terutama warga asing.
Beliau berkata, selain lesen peniaga ditarik, penganjur bazar Ramadan di tapak itu juga berdepan tindakan senarai hitam jika terbukti melanggar syarat.
|