KLUANG - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar belakang lori kargo yang keluar simpang dalam kejadian di Kilometer 76 Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 1.45 petang itu melibatkan Mohamad Faiszy Mohd Misraside, 21, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Zufri Zakaria, 53, yang memandu lori lima tan jenis Isuzu.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika Mohamad Faiszy dalam perjalanan dari Simpang Renggam menuju ke Machap, manakala lori dipandu Zufri Zakaria dari kilang di sebelah kiri jalan dan turut sama menghala ke Machap.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori itu dikatakan secara tiba-tiba keluar dan membelok ke kiri menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak atau memberhentikan motosikal ditunggang seterusnya melanggar bahagian belakang lori berkenaan.
"Perlanggaran itu telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat
. Menurut Bahrin, mayat mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat.
Ujarnya, pemandu lori yang tidak mengalami kecederaan itu kemudiannya ditahan untuk ujian saringan air kencing namun negatif daripada pengaruh sebarang jenis dadah.
"Pemandu lori akan dibuat permohonan tahanan reman bagi tujuan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
|