Kontena kelihatan di pelabuhan di Nanjing, di wilayah Jiangsu timur China pada 5 Februari 2025. Foto AFP
Geneva: China telah mengemukakan aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berhubung tarif baharu yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap barangan dari China, menurut pengumuman WTO pada Rabu seperti dilaporkan agensi berita Jerman dpa.
"China telah meminta rundingan pertikaian WTO dengan Amerika Syarikat berhubung langkah tarif baharu yang dikenakan oleh AS terhadap barangan yang berasal dari China," kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan.
Tarif baharu sebanyak 10 peratus yang dikenakan pentadbiran Presiden AS Donald Trump ke atas semua import dari China berkuat kuasa pada Selasa.
Sebagai tindak balas, China mengumumkan tarif sebanyak 15 peratus ke atas import produk gas asli cecair (LNG) dan arang batu dari AS pada hari yang sama.
Menurut WTO, "permintaan untuk rundingan secara rasmi memulakan satu pertikaian dalam WTO."
"Rundingan memberi peluang kepada pihak-pihak terbabit untuk membincangkan perkara itu dan mencari penyelesaian yang memuaskan tanpa meneruskan ke peringkat litigasi," katanya.
Jika pertikaian tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 60 hari, "pihak pengadu boleh meminta adjudikasi oleh panel."
Pakar kemudian akan menilai sama ada tarif yang dikenakan mematuhi peraturan WTO, dalam satu prosedur yang mengambil masa beberapa bulan.
Jika panel arbitrasi memutuskan berpihak kepada China, Beijing boleh, berdasarkan peraturan WTO, mengenakan tarif balas setara dengan jumlah kerugian yang dialami akibat tarif AS itu.
Trump memenangi Pilihan Raya Presiden pada November lepas dengan janji untuk mengenakan tarif tinggi ke atas barangan asing. Beliau sebelum ini telah melaksanakan pelbagai tarif semasa penggal pertamanya dari 2017 hingga 2021.
sumber :hmetro
|