MUAR: Suasana Tahun Baharu Cina bagi sebuah keluarga bertukar duka apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Tengku Bendahara, di sini, malam tadi.
Kebakaran berlaku sekitar jam 8 malam bukan sahaja menyebabkan lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, malah turut memusnahkan tiga buah kenderaan yang diparkir di hadapan rumah.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ng, 24, berkata sebelum kejadian mereka sekeluarga keluar rumah pada jam 3 petang untuk berjumpa saudara dan rakan bagi meraikan Tahun Baharu Cina.
Bagaimanapun, katanya, mereka menerima panggilan sekitar jam 8.10 malam daripada seseorang yang memaklumkan kediamannya terbakar.
"Saya bergegas pulang selepas menerima panggilan itu, apabila tiba, saya dapati api sudah marak. Saya gagal menyelamatkan semua barangan termasuk van, kereta dan motosikal yang turut musnah.
"Saya sedih sebab tak dapat sambut lagi Tahun Baharu, semua barangan musnah sama sekali. Paling sedih, angpau yang disimpan dalam rumah pun turut hangus, namun jumlahnya saya tidak ingat," katanya ketika ditemui.
Katanya lagi, dia sekeluarga kini berteduh di rumah saudara terdekat buat sementara waktu.
"Kami masih dalam kegembiraan menyambut Tahun Baharu Cina, namun semuanya tergendala. Buat masa ini, saya belum fikir apa tindakan seterusnya untuk diambil," katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Pegawai Bomba Kanan, Jahairi Shukur berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran rumah terbabit pada jam 8.16 malam.
Katanya, seramai 11 anggota dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan itu dengan dibantu sebuah jentera dan juga Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
"Kebakaran itu memusnahkan 90 peratus rumah teres setingkat. Selain itu, sebuah van, kereta dan motosikal juga musnah sama sekali sekali.
"Kesan kebakaran itu juga menyebabkan kerosakan pada dinding rumah jiran berhampiran. Pusat Kawalan Operasi (PKO) bertindak mengawal api daripada merebak dan operasi tamat pada jam 9.49 malam," katanya dalam kenyataan.
|