PORT DICKSON: Tentera Darat Malaysia (TDM) mengakui berhadapan cabaran mendapatkan perajurit berkualiti dan memenuhi kriteria atau syarat yang diperlukan.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, Tentera Darat terima permohonan hampir 10,000 orang pada sesi pengambilan kali ini, namun yang layak dipanggil menghadiri temuduga awal hanya 4,000 orang sahaja.
"Saya rasa kita tidak perlu malu mengatakan yang kita hadapi satu cabaran bagi mendapatkan perajurit berkualiti, tapi jadi cabaran yang cukup membimbangkan kerana kita kurang sumber atau bakal-bakal perajurit muda yang betul-betul berkualiti, namun ia tidaklah terlalu kritikal.
"Kita tak boleh bersikap terlalu tegas dalam memilih bakal-bakal perajurit ini kerana saya rasa masalah mendapatkan calon ini bukan masalah kita saja tetapi juga di negara-negara lain," katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 201/2024 dan Wanita Siri 49/2024 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini tadi.
Beliau berkata, di sesetengah negara, difahamkan ada yang tidak meletakkan had umur pemohon yang mahu menyertai perkhidmatan tentera tetapi kita masih bertegas soal kelayakan ketika sesi pemilihan Perajurit Muda kerana ia penting.
Malah katanya, ada juga yang dibenarkan berkhidmat semula meskipun telah pun berhenti sebelum ini.
"Hasil perbincangan saya dengan rakan-rakan sejawat di negara lain seperti di Australia pun, mereka hadapi masalah cukup kritikal sehingga mereka tidak letak sebarang had umur kepada pemohon yang nak sertai tentera, sedangkan kita belum sampai ke tahap itu," katanya.
Sehubungan itu katanya, TDM bersedia mempertimbangkan untuk melonggarkan syarat kemasukan perajurit dengan tidak terlalu kritikal dalam aspek fizikal.
Bagaimanapun katanya, soal kesihatan tetap diberi keutamaan bagi mengelakkan masalah yang akan timbul kepada perajurit berkenaan pada masa hadapan.
"Untuk kita juga, bagi atasi masalah ini, kita telah bincangkan kemungkinan untuk lihat selepas ini kita tidak terlalu kritikal di dalam aspek fizikal tetapi lebih tumpu kepada kemahiran atau kelayakan terutama berunsur sains dan teknologi.
"Jadi, mungkin ada tolak ansur dalam memilih calon-calon, namun kita tidak akan berkompromi dari segi kesihatan tubuh badan kerana kita tak mahu mereka yang kurang sihat atau ada penyakit kerana kita tidak mahu apabila menyertai latihan nanti mereka akan hadapi kecederaan lebih teruk atau gagal hadapi masalah kesihatan sepanjang latihan," katanya.
Selain itu katanya, pihaknya juga masih menghadapi cabaran untuk menarik minat kaum Cina dan India menyertai pasukan khususnya Tentera Darat.
"Pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk mengadakan program di sekolah-sekolah, namun beliau berpendapat kurangnya minat kaum lain menyertai pasukan terbabit disebabkan faktor ekonomi.
"Ini kerana mereka lebih cenderung kepada pekerjaan yang menghasilkan pulangan yang tinggi, mungkin disebabkan gaya hidup atau budaya dalam keluarga atau kecintaan kepada negara masih kurang," katanya.
Dalam perkembangan lain Muhammad Hafizuddeain berkata, seramai hampir 3,000 anggotanya di Sarawak sudah diarah bersiap sedia bagi membantu mangsa-mangsa banjir di negeri itu.
"Anggota tentera yang bertugas di Sarawak sudah diarahkan bersiap sedia sebilang masa bagi membantu mangsa banjir dan setakat ini ia sudah dilaksanakan mengikut keperluan," ujarnya.
|