Hanoi: Vietnam kini menjadi pemain utama dalam pasaran durian global, dengan nilai eksport buah itu mencecah AS$3.3 bilion (kira-kira RM14.85 bilion) pada 2024, lapor CNBC.
Menurut laporan pelabur, eksport durian Vietnam mengalami peningkatan 7.8 kali ganda berbanding 2022, menyumbang hampir 50 peratus jumlah nilai penghantaran buah-buahan dan sayur-sayurannya.
Kejayaan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh permintaan kukuh dari China, di mana durian dianggap sebagai 'buah mewah' dan bahan masakan yang kreatif.
Pada November 2024, import durian China berjumlah 1.53 juta tan, bernilai AS$6.83 bilion (kira-kira RM30.73 bilion), menandakan peningkatan 9.4 peratus tahun ke tahun.
Vietnam menguasai 47 peratus daripada pasaran yang menguntungkan ini, mengekori negara pada kedudukan pertama iaitu Thailand.
Durian menjadi 'kegilaan' dalam kalangan kelas pertengahan China, dengan inovasi pelbagai produk berkaitan buah itu seperti 'durian hot pot', roti durian dan bufet bertema.
Vietnam memanfaatkan peluang ini dengan mengekalkan pengeluaran berkualiti tinggi sepanjang tahun untuk memenuhi permintaan pasaran premium.
Sementara itu, Indonesia bergelut untuk bersaing, dengan eksport duriannya hanya mencecah AS$1.07 juta (kira-kira RM4.82 juta) pada 2023, jauh di bawah prestasi Vietnam, menurut Badan Pusat Statistik Indonesia.
CNBC mengaitkan pencapaian Vietnam dengan strategi komprehensifnya, merangkumi peningkatan kualiti, inovasi teknologi dan pengembangan pasaran antarabangsa.
Vietnam menggunakan kawasan penanaman durian seluas 150,000 hektar, khususnya Delta Mekong dan kawasan tanah tinggi, untuk mengekalkan pengeluaran berkualiti tinggi sepanjang tahun.
Perjanjian perdagangan strategik dengan China, yang ditubuhkan melalui protokol eksport pada 2022, mengukuhkan lagi kedudukan Vietnam.
Menurut CNBC, kisah kejayaan durian negara menunjukkan bagaimana perancangan strategik boleh mengubah produk pertanian tempatan menjadi komoditi global yang bernilai tinggi.
DURIAN Vietnam (dalam gambar) kini dijual secara meluas di China. FOTO fail AFP
Disiarkan pada: Januari 27, 2025
|