KEADAAN telinga kanak-kanak yang digigit kuda. FOTO ihsan pembaca
Seremban: Percutian sebuah keluarga ke daerah ini bertukar tragedi apabila telinga anak mereka yang berusia enam tahun putus digigit kuda di sebuah ladang agro, di sini.
Kejadian berlaku kira-kira 6 petang 19 Januari lalu, namun video kejadian berkenaan mulai tular sejak dua hari lalu selepas bapa kepada kanak-kanak berkenaan menularkannya di media sosial.
Suhaimi Mohd Rafi, 31, berkata, dia bersama isteri dan anak saya, Muhammad Aniq Farhan, 6, singgah ke ladang agro itu di daerah ini selepas selesai urusan di Kuala Lumpur pada 19 Januari lalu.
"Kami tiba di ladang agro sekitar 5.30 petang, selepas membeli tiket kami masuk dan melihat beberapa haiwan di situ, ketika mahu beredar anak mahu melihat dan bergambar dengan kuda di situ
"Anak saya dibenarkan menunggang kuda itu dengan bayaran tiket dan dikawal penjaga kuda, selesai menunggang kami diajak bergambar di dalam kawasan berpagar, ketika itulah kejadian berlaku," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Suhaimi berkata, anaknya yang teruja meminta dia mengambil gambar dan video, namun secara tiba-tiba seekor kuda yang berada berhampiran menggigit telinga anaknya.
"Kuda itu turut menghantuk kepala anak dan terkena pada besi menyebabkan kepalanya turut cedera manakala cuping telinga kiri koyak dan terputus," katanya.
Suhaimi turut mendakwa, dia ada menghubungi pemilik ladang agro farm ketika anaknya dirawat di hospital swasta, namun lelaki berkenaan bercakap secara kasar.
"Nasib baik wakilnya, seorang wanita datang ke hospital dan menenangkan kami, malah berjanji akan membayar pampasan.
"Anak menjalani pembedahan pada malam itu sebelum selesai kira-kira 1 pagi," katanya.
Katanya, kos rawatan sebanyak RM10,400 ditanggung insurans, begitupun peguam menyarankan keluarganya supaya mendapatkan pampasan RM5,000.
"Bagaimanapun, pihak agro farm memaklumkan hanya mampu membayar RM500 sahaja, sehingga kini mereka belum bayar satu sen pun sedang sudah berjanji.
"Anak saya yang mempunyai masalah austisme kini stabil dan telinganya selamat disambung, namun masih trauma.
"Ada yang menyalahkan saya membenarkan anak mendekati kuda, sebaliknya pekerja di situ memang benarkan kami untuk masuk dan anggap ia selamat," katanya.
Disiarkan pada: Januari 27, 2025
|