Washington: Hanya beberapa jam dengan menggunakan kuasa netizen, wanita Amerika Syarikat (AS) dapat bertemu semula dengan rakannya di China selepas tujuh tahun terputus hubungan.
Celia, 21, menggunakan RedNote, aplikasi media sosial China yang sama dengan TikTok, untuk meminta bantuan daripada netizen bagi mencari bekas rakan sekelasnya, Simon.
Dalam video penuh emosi, Celia menjelaskan, dia dan Simon satu kelas di sebuah sekolah swasta di Iowa pada 2017 hingga 2018.
Katanya, sepanjang tempoh itu, dia berkawan baik dengan Simon yang juga pelajar pertukaran China namun mereka terputus hubungan selepas rakannya itu pulang ke negara asalnya.
"Saya memerlukan semua netizen di aplikasi ini untuk membantu saya mencari dia.
"Simon, saya rindu awak. Saya rindu persahabatan kita," katanya.
Celia turut berkongsi gambar lama Simon sebelum seorang individu mengenalinya sebelum memaklumkan kepada Simon.
Hanya dalam beberapa jam saja, seorang pengguna dalam talian mengulas di bawah video Celia mendakwa, dia adalah Simon.
"Hello, semua. Saya Simon. Saya tidak pernah membayangkan saya akan berhubung semula dengan kawan baik saya sejak beberapa tahun lalu seperti ini.
"Terima kasih banyak kepada semua orang di RedNote yang membantu," katanya.
Simon kemudiannya menyiarkan video, menyatakan terima kasih.
"Kami tidak pernah membayangkan bahawa kami akan berhubung semula melalui RedNote. Saya benar-benar bersyukur," katanya.
RedNote, juga dikenali sebagai Xiaohongshu di China adalah aplikasi percuma yang paling banyak dimuat turun di Gedung Aplikasi Apple AS sebelum larangan TikTok, apabila pengguna beralih kepada platform alternatif.
Apabila pengguna mula berpusu-pusu ke RedNote, platform itu menjadi penghubung untuk orang di kedua-dua belah jurang geopolitik yang lama wujud.
Buat pertama kalinya, mereka berinteraksi antara satu sama lain melalui kuasa media sosial.
|